Oleh Ismail Sabri Yaakob
30 Disember 2023, 8:00 am
ISNIN ini bermula tahun baharu 2024. Tahun 2023 berlalu dengan malapetaka yang amat dahsyat untuk kemanusiaan.
Lebih 20,000 orang tidak kira tua, muda, kanak-kanak atau wanita dibunuh di Gaza, Palestin. Jumlah kematian ini dijangka terus meningkat kerana tidak ada sebarang tanda kerajaan haram Israel akan menghentikan kerja tidak berperikemanusiaan mereka. Seolah-olah tidak ada ‘satu kuasa’ pun yang mampu untuk menyekat rejim aparteid Zionis daripada terus melakukan pembunuhan besar-besaran.
Paling menyedihkan, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanya sekadar mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel tanpa sebarang cadangan praktikal untuk menghentikan kekejaman ini. Malah, hendak mengeluarkan kenyataan mengutuk kekejaman yang amat dahsyat dalam sejarah dunia moden hari ini pun mereka berbalah sesama sendiri.
Sedangkan Israel hanya negara kecil yang mempunyai tidak sampai 10 juta rakyat, dikelilingi 23 negara Arab dengan lebih 400 juta penduduk.
Perpecahan negara-negara Arab perlu dijadikan pengajaran oleh kita hari ini. Perkara sama akan berlaku di Malaysia jika orang Melayu dan bumiputera terus berpecah. Masyarakat pribumi membentuk 70 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia tetapi hari ini berpecah teruk kerana tiada kesepakatan, perselisihan dan berbeza ideologi.
Jika dihitung jumlah kerusi ahli Parlimen Melayu dan bumiputera di dalam Dewan Rakyat ialah melebihi majoriti dua pertiga. Di sebelah kerajaan ada 93 kerusi Melayu dan bumiputera manakala pembangkang ada 73 kerusi. Komposisi dalam Dewan Rakyat sahaja tidak memberikan sebarang makna kerana orang Melayu dan bumiputera berpecah kepada terlalu banyak parti dan ideologi.
Keadaan ini memberikan gambaran keseluruhan masyarakat Melayu dan bumiputera yang tidak sepakat dan berpecah-belah. Atas faktor ini juga, ada pihak mengambil kesempatan. Menuntut perkara tidak sepatutnya dan telah diterima sebagai sebahagian daripada amalan di negara ini.
Maka timbul polemik bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri. Ia seolah-olah sengaja dicetuskan ahli politik veteran yang sejak sekian lama menuntut kesamarataan melalui konsep Malaysian Malaysia bagi menimbulkan perdebatan massa.
Walaupun tuntutan bukan Melayu sebagai Perdana Menteri tidak bertentangan dengan perlembagaan, namun perbincangan tentangnya tidak pernah berlaku secara terbuka sebelum ini. Pelantikan Perdana Menteri ini adalah kesepakatan dan amalan yang diterima oleh semua, sejak Perdana Menteri pertama sehingga sekarang adalah kaum Melayu dan beragama Islam.
Dalam undang-undang, amalan merupakan rujukan dan duluan (precedent) jika tiada dalam undang-undang bertulis. Lebih-lebih lagi Melayu dan bumiputera adalah majoriti yang mewakili 70 peratus daripada 32 juta penduduk Malaysia. Adalah bahaya untuk negara jika kumpulan minoriti menguasai dan memerintah penduduk majoriti yang jumlahnya terlalu besar. Ia menimbulkan ketidakpuasan hati golongan majoriti yang akhirnya akan menjadi bom jangka untuk perpecahan lebih besar dan ketegangan kaum.
Sebagai contoh, di Fiji, apabila presiden dari parti yang memenangi pilihan raya dilantik dalam kalangan bukan daripada bangsa Fiji, maka berlaku ketegangan dan rampasan kuasa. Jadi, perkara sama mungkin boleh berlaku di Malaysia.
Terbaru, DAP semakin biadap mencampuri urusan agama Islam dan Majlis RajaRaja Melayu apabila seorang pemimpinnya menuntut wakil bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah.
Kegilaan apakah ini? Bukan Islam dilantik untuk mengkaji kuasa mahkamah syariah yang tiada kaitan dengan mereka sama sekali.
Sebelum ini tiada siapa pun berani membangkitkan hal-hal tersebut secara terbuka kerana orang Melayu kuat serta bersatu di bawah satu suara.
Seperti pepatah lama, bila kayu itu tumbang, kura-kura pun berani memanjat.
Walaupun tidak tercatat dalam perlembagaan, kuasa politik Melayu adalah sebahagian daripada kontrak sosial. Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-215 pada 16 Oktober 2008 menegaskan kontrak sosial tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia merupakan asas utama pembentukan negara.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ini juga menegaskan prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasi di negara ini wajib berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial Malaysia.
Perpecahan Melayu menyebabkan tiada satu pun parti orang Melayu mampu menubuhkan atau menjadi tonggak Kerajaan Persekutuan. Ini adalah kesan domino apabila masyarakat pribumi ini semakin hilang kepercayaan kepada parti tempat mereka bergantung harap selama ini, iaitu UMNO. Buktinya, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, hanya 28 peratus pengundi Melayu memberikan sokongan kepada UMNO.
UMNO harus bangkit kembali dan mencari jalan menyatukan orang Melayu yang berpecah-pecah demi memastikan kuasa politik Melayu tidak hilang atau diganggu-gugat. Orang Melayu pada zaman sekarang berbeza dengan generasi terdahulu, mereka sentiasa mengikuti rapat akan perkembangan hal politik semasa khususnya parti yang membawa wadah perjuangan bangsa Melayu.
Walau apa pun, pemimpin-pemimpin Melayu harus duduk semeja berbincang untuk mencari titik persamaan supaya perpecahan ini dapat bertaut kembali. Kuasa politik tidak akan kembali sekiranya orang Melayu terus berpecah dan jangan menyesal jika apa yang ada hari ini dan diwarisi oleh leluhur kita lenyap begitu sahaja.
Paling dekat, orang Melayu wajib bersatu bagi memastikan persempadanan semula kawasan pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 tidak akan menghilangkan terus kuasa politik Melayu di negara ini. Jika orang Melayu tidak segera bersatu, suatu ketika nanti kita menjadi seperti orang Arab yang hanya mampu melihat saudara sebangsa dan seagama disembelih kerana tidak boleh berbuat apa-apa berikutan tiada kuasa.
Semoga 2024 menjadi permulaan untuk penyatuan kembali umat Melayu dan bumiputera demi masa depan negara yang lebih baik. Selamat Tahun Baharu. – UTUSAN
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.