Veto AS halalkan kekejaman Israel

 

Oleh Ismail Sabri Yaakob
11 November 2023, 8:00 am

GAZA telah menjadi kubur besar. Sehingga 10 November lalu dilaporkan sebanyak 10,569 rakyat Palestin terkorban.

Daripada jumlah itu sebanyak 4,324 adalah kanak-kanak dan 2,823 wanita terbunuh.

Statistik juga menunjukkan setiap 10 minit, seorang kanak-kanak dibunuh dan dua orang kanak-kanak tercedera.

Ketika artikel ini ditulis, tiada tanda-tanda penjajah akan menghentikan serangan.

Biarpun digesa oleh negara-negara di seluruh dunia supaya menghentikan serangan tetapi rejim aparteid Zionis meneruskan serangan sehinggakan hospital, sekolah, universiti, masjid dan gereja semuanya musnah. Ambulans yang membawa mangsa tercedera turut dibedil.

Askar-askar penjajah juga menyerbu dan menggeledah rumah-rumah rakyat Palestin di Tebing Barat. Lebih 100 orang dibunuh manakala hampir 3,000 penduduk ditahan.

Tindakan tanpa perikemanusiaan ini dikatakan berpunca daripada reaksi Hamas mempertahankan tanah air mereka pada 7 Oktober lalu. Mereka bertindak sedemikian bagi menyedarkan dunia bahawa penjajahan Zionis semakin menggila.

Sebagai contoh, dalam tempoh enam bulan penggal baharu kerajaan pimpinan Penjenayah Perang, Benjamin Netanyahu telah menceroboh tanah milik rakyat Palestin dan membina 13,000 unit rumah untuk penempatan haram Yahudi. Jumlah ini tiga kali ganda daripada jumlah yang dibina pada 2022.

Penggal baharu kerajaan haram Netanyahu yang bermula pada Disember 2022 lebih dahsyat daripada sebelumnya.

Netanyahu mahu meredakan tekanan dan mengalihkan perhatian kaum Yahudi terhadap pelbagai tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dihadapinya.

Mangsanya adalah rakyat Palestin.

Netanyahu dan sekutunya semakin berani kerana mereka tahu Amerika Syarikat (AS) bersama-sama United Kingdom (UK) dan Perancis tidak akan membantah malah memberi sokongan.

Sehingga hari ini, AS dan negara-negara barat masih dengan naratif yang sama, Israel perlu diberi ruang ‘mempertahankan diri’.

Malah tindakan 120 buah negara yang menggesa supaya gencatan senjata dilakukan segera dan berterusan pada Sidang Khas tergempar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya sia-sia kerana dihalang oleh kuasa veto AS.
Israel tidak pernah pun mengendahkan arahan PBB sejak dahulu lagi.

Ketika peringkat awal penubuhan negara haram ini, pada 1947, PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membahagikan bumi Palestin untuk penduduk Arab dan pendatang Yahudi serta meletakkan Baitulmaqdis di bawah pentadbiran antarabangsa.

Daripada tiga objektif itu, hanya satu yang terlaksana iaitu penubuhan Israel manakala penubuhan Palestin dan mengantarabangsakan Baitulmaqdis tidak dipenuhi, malah menjadi permulaan kepada kegilaan Israel pada hari ini.

Pada 22 November 1967, Israel sekali lagi tidak mengendahkan Resolusi 242 oleh PBB yang mendesak Israel menyerahkan semula wilayah yang dirampasnya dan menghormati semua kedaulatan negara yang bertelagah.

Sejak 1945 sehingga hari ini, sebanyak 34 resolusi Majlis Keselamatan PBB berkaitan Palestin dan Israel telah dihalang oleh AS dengan menggunakan kuasa veto bagi melindungi Zionis.

Justeru, apakah PBB masih relevan? Pada pandangan saya, selagi badan utama dunia ini mengamalkan konsep kuasa veto, maka selagi itulah PBB tidak mempunyai sebarang makna.

Apakah PBB akan turut menerima nasib yang sama dengan Liga Bangsa-Bangsa yang dibubarkan pada tahun 1945 kerana gagal menghalang Perang Dunia Kedua?
Maka sekali lagi saya menggesa supaya kuasa veto dihapuskan demi keamanan sejagat.

Ketika mewakili Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, saya menegaskan kuasa veto perlu dihapuskan agar tidak disalahgunakan oleh mana-mana negara untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

Dunia semakin sedar bahawa rejim aparteid Zionis sedang melakukan penghapusan etnik.

Saya mengucapkan tahniah kepada negara-negara AS serta dari benua Eropah seperti Ireland, Sepanyol serta Belgium kerana berani bersuara dan menggesa supaya gencatan senjata dilakukan segera.
Malah beberapa Ahli Parlimen di UK serta Anggota Kongres AS, Rashida Tlaib secara terbuka mengecam Israel.

Keberanian ini sepatutnya memangkin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara-negara Arab supaya lebih berani menekan Israel dan tidak menjadi alat kepada AS.

Negara-negara Arab dan Islam seharusnya menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan dengan Israel termasuk merobek segala usaha dan persetujuan dalam Perjanjian Abraham 2020.

Apa yang berlaku di Palestin membuktikan hipokrasi negara barat mengenai keadilan, kemanusiaan, hak asasi dan demokrasi.

HAMAS
Pengeboman bertali arus rejim haram itu dengan alasan untuk menghapuskan Hamas tidak dapat diterima sama sekali kerana ia adalah parti politik yang berpegang kepada ideologi untuk membebaskan negara mereka daripada penjajah.

Hamas bukan pengganas tetapi pejuang kemerdekaan!

Jika Hamas ‘hilang’ sekali pun ideologi itu tidak akan padam.

Mungkin lebih banyak Hamas akan muncul selepas ini kerana sejarah di mana-mana negara sekali pun telah membuktikan kebangkitan menentang penjajah akan terus menyala sehingga tanah air mereka dibebaskan.

Perlu ditegaskan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Gaza bukanlah perang atau konflik antara agama. Buktinya gereja ketiga tertua di dunia, gereja Saint Porpyrius di Gaza yang dianggap suci oleh penganut Kristian turut musnah dibedil.

Sokongan kepada Palestin ialah demi kemanusiaan dan keadilan.

Justeru, kita di Malaysia tidak perlu berpecah dalam perkara ini kerana sudah jelas bahawa ini adalah penjajahan yang paling kejam.

Jangan terpengaruh dengan propaganda media barat bahawa episod hitam ini yang berpunca daripada Hamas.

Kekejaman dan kezaliman ke atas penduduk Palestin ini adalah rentetan daripada malapetaka atau ‘nakbah’ selepas Zionis menawan Palestin pada tahun 1948.

Netanyahu dan sekutunya wajib diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas segala kekejaman yang mereka lakukan ke atas penduduk Palestin.
Dunia harus bersatu demi keamanan sejagat.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *