KOTA BHARU: Datuk Rozabil Abd. Rahman diangkat sebagai Ketua Bahagian UMNO Arau yang baharu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu.
Perkembangan tersebut sekali gus menyaksikan penguasaan Datuk Seri Shahidan Kassim sejak hampir 30 tahun lalu di bahagian itu berakhir.
Sebagai rekod, Shahidan dipecat dari UMNO tahun lalu selepas bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Rozabil berkata, barisan kepemimpinan baharu ini bakal membawa perubahan besar bukan sahaja di bahagian malah di peringkat negeri untuk parti kembali bangkit selepas ini.
Katanya, beliau percaya kebangkitan UMNO Perlis akan bermula selepas kalah semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam PRU15.
Ujarnya, persidangan UMNO Bahagian Arau juga menarik kehadiran yang cukup ramai malah ramai pemimpin terdahul yang kembali semula untuk membantu kebangkitan parti dengan barisan kepemimpinan baharu.
“Terima kasih kepada perwakilan memberi mandat kepada saya dalam mengetuai UMNO Bahagian Arau ini. Secara amnya, kita akan dapat melihat wajah-wajah baharu dalam kepemimpinan.
“Wajah-wajah baharu itu bukan sahaja di Bahagian Arau malah di Kangar dan juga Padang Besar. Kebangkitan UMNO akan bermula kembali dan kita sebenarnya masih ada sinar di hujung terowong,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.
Selain Rozabil yang menang tanpa bertanding, jawatan-jawatan ketua sayap parti seperti Pemuda, Wanita dan Puteri sebelum ini juga menyaksikan tidak ada pertandingan.
Pemuda UMNO Arau diketuai Abdul Azim Abdullah, Puteri pula dipimpin oleh Aida Syafinaz Isa manakala Rozieana Ahmad mengetuai pergerakan Wanita UMNO Arau.
Tambah Rozabil, beliau akan berusaha membawa membawa perubahan besar melalui pendekatan dan program-program yanh bakal diatur serta dilaksanakan.
“Insya-Allah kita akan buat perubahan besar. Tidak mungkin saya akan lakukan seperti kepemimpinan terdahulu. Saya ada cara tersendiri,” katanya.
-Habis-