Kuantan: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang penolong akauntan sebuah agensi kerajaan Pahang ditahan reman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes rasuah.
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman memerintahkan wanita berusia 42 tahun itu ditahan reman bermula hari ini sehingga 22 Mac depa bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Difahamkan, wanita terbabit ditahan di pejabat SPRM Pahang, di sini, kira-kira 3.30 petang semalam ketika hadir untuk memberi keterangan.
Suspek didakwa meminta bayaran daripada seorang pemilik bengkel bagi mempercepatkan tuntutan bayaran untuk kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan kerajaan di bengkel berkenaan.
Suspek didakwa menerima wang rasuah antara RM50 sehingga RM2,500 sejak April 2021 hingga Februari 2022 dengan jumlah keseluruhannya RM41,768.
Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh membawa hukuman di bawah Seksyen 24 akta sama.
Kredit: Harian Metro