Tidak nampak perubahan masa depan UMNO

KOTA BHARU: Kesemua pemimpin sayap UMNO yang menang dalam pemilihan parti itu bakal memikul tanggungjawab cukup besar membantu Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN).

Secara dasarnya, pemimpin-pemimpin baharu dari sayap pemuda dan puteri selain wanita yang masih kekal diterajui Datuk Dr. Noraini Ahmad dilihat terus menjadi ‘orang kuat’ presiden yang akan membantu Ahmad Zahid
mengemudi UMNO ke mana jua akan pergi.

Pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, selepas jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan, perebutan jawatan-jawatan lain di dalam parti itu dilihat tidak berupaya membantu merubah masa depan UMNO.

Katanya, UMNO bakal mendepani cabaran pertama dalam mendepani PRN sama ada masih diterima rakyat melalui keyakinan terhadap barisan baharu sayap parti itu
atau sebaliknya.

Ujarnya, sekiranya dalam PRN prestasi UMNO lebih buruk adakah akan ada desakan kedua untuk Ahmad Zahid letak jawatan.

“Kegagalan menguruskan agihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN atau
kegagalan mengembalikan keyakinan akar umbi dan pengundi serta kegagalan mengembalikan dominasi UMNO dalam PRN, kemungkinan UMNO akan terus menjadi tidak relevan.

“Kalau ini terjadi, sayap pemuda, wanita dan puteri yang baharu ini dilihat tidak akan memberi nilai tambah kepada kelangsungan parti,” katanya.

Dalam pemilihan UMNO kelmarin, parti itu menerima Ketua Pemuda dan Ketua Puteri baharu selepas Dr. Muhamad Akmal Saleh serta
Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berjaya menewaskan pencabar masing-masing.

Pada pemilihan Pemuda UMNO sesi 2023-2026 itu, Muhammad Akmal menewaskan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah merangkap Ahli Parlimen Paya Besar; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.

Nurul Amal pula telah mengalahkan calon lain termasuklah Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin yang merupakan penyandang Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Masliha Harun, Fadwah Anuwar serta Nurul Hazwani Haslan.

Manakala Noraini berjaya mengekalkan jawatan Ketua Wanita UMNO untuk penggal kedua selepas mendapat undian daripada 106 bahagian, sekali gus mengatasi pencabar tungggalnya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga pernah menerajui sayap UMNO itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, setakat ini, beliau tidak melihat apa-apa tindakan UMNO sebagai persediaan dalam mendepani PRN tidak lama lagi.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *