Kuala Lumpur: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya turut menyiasat punca dana politik diberikan kepada PKR dan Umno.
Beliau berkata, agensi penguat kuasa itu tidak seharusnya menumpukan punca dana Bersatu semata-mata kerana parti lain turut menerima dana politik daripada pihak tertentu.
“Saya nak cabar SPRM untuk siasat, siasat presiden PKR dan presiden UMNO. Siasat di mana punca dana yang diterima oleh Umno dan PKR. Di manakah sumber (dana) yang mereka peroleh.
“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, Perdana Menteri juga daripada Umno, adakah Umno tidak menerima sumbangan politik. Begitu juga PKR di beberapa negeri.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut bertanya kepada SPRM mengenai laporan dibuat ahli parti yang menggesa siasatan lanjut dijalankan.
“Dah buat atau belum, atau yang disiasat hanya Bersatu saja. Bukankah ini pendakwaan terpilih. Sebelum pendakwaan juga, ramai termasuk media sudah tahu saya akan ditahan, seolah-olah mereka tahu saya akan didakwa. Apa maknanya ini dan adakah ia siasatan secara bebas,” katanya.
Sementara itu Muhyiddin mendakwa, beliau satu-satunya presiden parti yang didakwa di mahkamah disebabkan partinya menerima dana politik.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sekiranya didapati bersalah, beliau juga tidak akan mampu membayar hukuman denda yang akan dikenakan terhadapnya.
“Dua hari lalu, saya diheret ke mahkamah untuk enam pertuduhan kerana didakwa menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk menerima dana politik bagi Bersatu. Esok satu lagi pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
“Kesemua pertuduhan ini sebagai Presiden Bersatu bukan (kapasiti) peribadi. Jika saya bersalah, saya akan dihukum lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda yang terpaksa saya bayar. Mungkin saya juga tidak mampu membayarnya.
“Ini kali pertama seorang presiden parti didakwa di mahkamah kerana partinya menerima dana,” katanya menegaskan, sumbangan dana politik daripada ahli dan penyokong parti, termasuk ahli perniagaan, hartawan dan dermawan perlu untuk sesebuah parti politik menjalankan fungsi dalam negara demokrasi.
Beliau turut mengulangi penjelasannya sebelum ini mengenai ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan parti, antara lain menetapkan setiap sumbangan kepada Bersatu mesti dimasukkan terus ke dalam akaun bank parti dan setiap aliran wang keluar serta masuk boleh disemak.
Katanya, semua rekod akaun Bersatu kini dalam milik SPRM yang boleh mengemukakan bukti-bukti diperlukan.
Muhyiddin juga mengulangi dakwaan bahawa pertuduhan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya adalah untuk melumpuhkan Bersatu sebelum pilihan raya negeri (PRN) dilangsungkan dalam beberapa bulan lagi.
Beliau turut menuduh gerakan pemangsaan politik secara terpilih dilakukan dengan rakus ke atas parti berkenaan, akaun parti dibekukan dan pemimpin direman serta didakwa, manakala pihak-pihak yang tiada kaitan dengan sumbangan dana politik kepada Bersatu disiasat.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau akan terus memimpin Bersatu dan PN selepas tawarannya untuk meletak jawatan ditolak Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.
“Semalam saya menawarkan diri untuk letak jawatan Presiden Bersatu disebabkan kedudukan saya pada masa ini yang sedang berhadapan beberapa pertuduhan di mahkamah.
“Sebagai mendokong prinsip dan motto perjuangan parti, ‘Bersatu, Bermaruah dan Beramanah’, saya ambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pertuduhan terhadap diri saya, namun Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menolak tawaran saya untuk meletak jawatan.
“Perwakilan pada hari ini juga meluluskan usul menolak peletakan jawatan saya dan atas kehendak Perhimpunan Agung Tahunan, saya meneruskan tugas sebagai presiden parti. Saya amat terharu dengan sokongan saudara dan saudari semua kepada saya dan dengan ini mengucapkan terima kasih,” katanya.
Sementara itu, beliau mendakwa Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan parti sekutu dalam Kerajaan Perpaduan mungkin mengubah persempadanan kawasan pilihan raya demi politik dan kemungkinan itu membimbangkan partinya.
“Itulah sebabnya Bersatu memutuskan untuk keluar dari PH, itulah juga sebab PAS membuat keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat. Perjuangan mereka berbeza dengan perjuangan kita,” katanya.
Kredit: Harian Metro