Cameron Highlands: Kegiatan penanaman haram pelbagai jenis sayuran di kawasan seluas lebih 15.77 hektar di tiga hutan simpan, dekat sini, berakhir apabila ia dimusnahkan dalam operasi khas, kelmarin.
Operasi pemusnahan bersepadu tiga hari itu digerakkan Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Pahang Barat membabitkan lokasi di kawasan Hutan Simpan Batu Gangan, Hutan Simpan Sungai Wi serta Hutan Simpan Terisu B.
Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP, Shahril Mohamad berkata, operasi itu dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands yang mengesan terdapat kebun sayur dalam kawasan hutan simpan itu.
Katanya, anggota risikan yang memasuki kawasan itu menemui kebun dengan tanaman kacang buncis, terung, cili hijau dan timun.
“Mereka menggunakan jentera membajak bagi melancarkan lagi projek pertanian yang diusahakan.
“Semua tanaman sayur, stor baja dan pondok tempat tinggal pekerja dimusnahkan bagi memastikan kegiatan berkenaan tidak terus berulang, kemudian kita pulihkan kawasan terbabit dengan menanam dengan pokok jenis gerok.
“Operasi bersepadu tanah tinggi Cameron Highlands kali pertama diadakan tahun ini tidak berhadapan sebarang masalah, perjalanan sejauh 20 kilometer melalui jalan curam dan lereng bukit untuk sampai ke kawasan Hutan Simpan Terisu menjadi antara cabaran yang dilalui,” katanya.
Beliau menambah, tindakan tegas memusnahkan tanaman sayuran perlu diambil kerana ia menyalahi undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.

Shahril berkata, operasi disertai 77 anggota Unit Penguat kuasa JPNP Zon Pahang Barat, Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) dan Unit Penguat kuasa Negeri Pahang (UPNP).
Beliau yang turut menyertai operasi berkenaan menambah, pihaknya tidak pasti bila kawasan pertanian terbabit mula diteroka, penemuan kawasan ceroboh itu hasil tinjauan secara berkala kakitangan PHD Cameron Highlands yang membuat rondaan setiap bulan.
Tambahnya, permintaan tinggi terhadap sayuran tanah tinggi Cameron Highlands menjadi faktor utama kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini terus berlaku walaupun tindakan penguat kuasaan dilakukan secara berterusan.
Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat dalang tempatan yang menggunakan warga asing sebagai buruh pertanian sepenuh masa, hasil pertanian dipasarkan oleh individu terbabit.
“Jabatan terus meningkatkan pemantauan di kawasan Hutan Simpan Batu Gangan, Hutan Simpan Sungai Wi dan Hutan Simpan Terisu bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita akan terus menggunakan kemudahan forest monitoring by remote sensing (FMRS) dan dron bagi memantau kawasan hutan dan bukit yang sukar untuk kakitangan penguat kuasa sampai,” katanya yang mengharapkan kerjasama masyarakat setempat.
Kredit : Metro