‘Jurutera lemas ketika perkelahan selepas majlis pertunangan’

BACHOK: Perkelahan selepas menghadiri majlis pertunangan adik ipar, berakhir tragedi buat jurutera Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu apabila lemas dalam kejadian di Kuala Gel dekat Pantai Malawi di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang, ketika mangsa, Muhammad Fauzan Azamuddin, 34, berusaha menyelamatkan abang ipar dan anak saudaranya daripada lemas di tempat kejadian.

Seorang waris mangsa berkata, Fauzan bersama keluarga serta adik beradik isterinya, Farah Alyani Mohd Razali, 30an, ke pantai berkenaan selepas menghadiri majlis pertunangan adik iparnya.

“Kami mengetahui kejadian menimpa mangsa kira-kira jam 7.30 malam tadi selepas dihubungi ahli keluarga lain yang turut berada di lokasi.

“Kami dimaklumkan, Fauzan lemas ketika cuba menyelamatkan seorang anak saudaranya serta abang ipar, Muhammad Rasyidan Razali, 37, daripada lemas,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, di sini, hari ini.

Ahli keluarga mangsa terselamat dalam kejadian kini dalam rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata mayat mangsa ditemui di tempat kejadian oleh orang awam.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar pada jam 7.03 malam,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

 

Kredit: Berita Harian

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *