Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) yakin sokongan rakyat terhadap gabungan itu akan bertambah walaupun Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan enam pertuduhan di mahkamah semalam.
Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menerima maklum balas yang baik daripada rakyat terutama berkenaan sokongan terhadap PN.
“Bahawa (tuduhan itu), ia satu perancangan untuk melemahkan PN, namun saya tidak nampak ia akan menjejaskan prestasi kita, malah ia akan menambahkan lagi sokongan kepada kita
“Kita yakin sokongan rakyat terhadap PN akan bertambah dan ia tidak akan melemahkan kita,” katanya selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali ke-56 di sini, hari ini.
Takiyuddin mengulas sama ada pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PN untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang di enam negeri.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, bagi menjelaskan perkara berkenaan, pihaknya akan mengadakan jelajah ke seluruh negeri untuk menerangkan kepada rakyat.
“Kita bertanggungjawab untuk menjelaskan pandangan dan akan beri penjelasan kepada rakyat tentang apa yang sedang berlaku. Kita mempunyai seramai 4.7 juta penyokong yang mengundi.
“Kita akan menggabungkan segala kekuatan, iaitu Pas dari segi jentera, Bersatu dari segi figure dan gerakan mewakili orang bukan Melayu,” katanya.
Media semalam melaporkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Kredit: Harian Metro