KUALA LUMPUR: Ketua ARMADA BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan kes mahkamah dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sama seperti pertuduhan skandal kewangan terbesar dunia seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, pertuduhan ke atas Muhyiddin itu jelas bersifat pendakwaan terpilih yang dimotivasikan ketakutan melampau terhadap pengaruh BERSATU dalam politik Melayu.
“Ini bukan kali pertama beliau (Muhyiddin) diuji. Saya mahu ingatkan perwakilan dan semua rakyat, Muhyiddin bukan (seperti) Najib. Jauh sekali terlibat dalam skandal kewangan terbesar dunia seperti 1MDB.
“Orang Melayu lebih pandai menilai mana yang permata dan mana yang kaca. lanya jauh sekali daripada adil dan amat tidak berperikemanusiaan.
“Sama-sama kita doakan agar Muhyiddin dikurniakan kekuatan bagi menempuhi ujian sedang dihadapi. Saya percaya, beliau tidak akan mudah luntur semangat juangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua ARMADA BERSATU sempena Perhimpunan Agung Tahunan Keempat sayap parti itu di sini, hari ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang turut melancarkan Kelab ARMADA Brotherhood Riders Organisation (A’BRO) dan Pasukan Khas ARMADA (PASKAR).
Yang turut hadir, Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin; Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris dan Naib Ketua Srikandi merangkap Timbalan Ketua BERSATU Melaka, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, BERSATU perlu menggagaskan naratif Melayu baharu yang akan digunakan sebagai persediaan menghadapi realiti politik semasa.
Ini kerana, katanya, realiti politik Melayu kini berada dalam era kemerosotan dengan pengaruh di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat semakin mengecil bermula 2018.
Beliau yang juga Ketua Biro Politik ARMADA BERSATU mendakwa, kemerosotan itu turut didorong faktor kerjasama antara UMNO dan DAP yang disifatkan sebagai pengkhianatan terbesar serta hipokrasi politik Melayu.
“Representasi orang Melayu dalam institusi legislatif di (peringkat) Pusat dan negeri yang kecil secara langsung menjadikan naratif Melayu, sosiobudaya, ekonomi dan kepercayaan orang Melayu, semakin tidak signifikan serta dianggap sebagai picisan atau alternatif.
“Malah, jika institusi legislatif bercakap mengenai kepentingan, program dan inisiatif Melayu serta dasar dan undang-undang pro-Melayu, mereka akan dianggap sebagai asing atau tak cukup inklusif bagi pembawakan politik Malaysia ketika ini.
“Buktinya, di Parlimen kita jarang mendengar Ahli Parlimen dari kerajaan bercakap mengenai kelangsungan Melayu dan Bumiputera. Hanya Ahli Parlimen PN yang berani menyuarakan hal demikian.
“Saya khuatir, masyarakat Melayu akan hilang rasa kepunyaan kepada tanah air, akhirnya beranggapan demokrasi tak berupaya merealisasikan hasrat dan kepentingan politik mereka, jika situasi ini berterusan,” katanya.
kredit : Berita Harian