Stor tepi Sungai Kuantan simpan diesel haram

Kuantan: Risikan selama seminggu membolehkan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di daerah ini tumpas dan sejumlah 106,000 liter bahan bakar itu dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri, Muhamad Radzi Johari berkata, diesel bernilai RM266,900 itu ditemui dalam serbuan di stor tidak berlesen di Tanah Putih dekat Sungai Kuantan, kelmarin.

“Serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Pahang hasil risikan selama seminggu dan pemeriksaan di lokasi menemukan enam tangki penyimpanan serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel dan dokumen berkaitan.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit serta rantaian pengedaran diesel termasuk sumber diperoleh,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menyiasat sama ada diesel itu diperoleh melalui laluan air selain darat berikutan stor yang terletak di tepi sungai.

Sepanjang tempoh pelaksanaan Op Tiris bermula 1 Mac lalu, katanya, sebanyak 157 pemeriksaan dilakukan membabitkan pemborong dan peruncit dengan tiga kes disiasat.

Muhamad Radzi berkata, dua kes di Raub manakala satu kes di Kuantan dengan rampasan berjumlah RM308,012.

“KPDN meminta kerjasama pengguna untuk membantu mata dan telinga dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada kementerian,” katanya.

 

Kredit:. Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *