KOTA BHARU: Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan pendakwaan terhadap beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebagai cubaan untuk melumpuhkan gabungan itu.
Selain itu, katanya, ia juga menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah seorang reformis sebaliknya Dia pendendam yang opportunis dan kuku besi.
Wan Saiful dalam kenyataan berkata, selepas beliau dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu, kini tumpuan mereka ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Katanya, sasaran utama mereka sudah pastinya melumpuhkan PN agar tiada semak imbang dalam negara ini.
“Abdul Hadi disiasat kerana kenyataan beliau mengenai pertukaran kerajaan. Kenyataan itu tiada apa salahnya kerana memang pertukaran kerajaan boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam sistem demokrasi Westminster yang kita amalkan.
“Anwar Ibrahim adalah seorang yang sebelum ini telah dihukum penjara atas kesalahan salah guna kuasa. Tidak pelik jika bekas banduan ini mengulang perangai lama apabila mendapat peluang duduk di atas singgahsana.
“Rakyat dan pemerhati antarabangsa perlu sedar bahawa inilah dia Anwar Ibrahim yang sebenar. Tekanan yang Anwar kenakan kepada pembangkang adalah untuk melumpuhkan proses semak imbang.
“Nepotisme bermaharajalela dalam kerajaan Anwar,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin juga bekas Perdana mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram wang berjumlah RM195 juta.
Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima wang tersebut daripada sebuah syarikat di antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022 di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stensen Sentral, Kuala Lumpur yang mana wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun parti termasuk.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.
Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful dihadapkan ke mahkamah dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Wan Saiful mengaku tidak bersalah dan mendakwa pertuduhan itu sebagai pendakwaan terpilih bermotifkan politik.