KOTA BHARU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan mengesahkan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan yang dibawa ke Perhimpunan Agung Umno 2022 baru-baru ini mendapat pengecualian daripada kementerian itu.
Namun ia menjadi persoalan selepas tersebarnya surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bahawa keputusan usul tambahan ucapan dasar presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan penggal pemilihan parti akan datang adalah tidak sah.
Menerusi surat yang tersebar bertarikh 2 Mac itu, berdasarkan semakan pada maklumat dan dokumentasi yang dikemukakan bersama surat UMNO bertarikh 27 Januari 2023, 2 Februari 2023 dan 14 Februari 2023, jabatan itu mendapati bahawa usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 tersebut adalah tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah.
Ia bertentangan dengan peruntukan di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.
Justeru itu, dengan kuasa-kuasa diperuntukkan kepada Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), maka
keputusan usul tambahan ucapan dasar presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan penggal pemilihan parti akan datang adalah tidak sah.
Sehubungan itu, UMNO hendaklah mengambil tindakan pembetulan (corrective measure) dengan tidak mengenepikan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 9.3 dalam pelaksanaan Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO.
Surat berkenaan yang tersebar itu turut dikongsikan oleh laman Facebook Che’ GuBard Original hari ini.
Bagaimanapun, Saifuddin dalam kenyataan berkata, pihaknya telah meneliti mengenai ketetapan yang dibuat oleh perhimpunan tersebut daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 3 Mac lalu.
“Merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO berdasarkan Seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
“Kementerian telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti UMNO akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah Seksyen 70, menteri diberi kuasa untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan akta.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mendedahkan bukti surat RoS yang menyatakan UMNO tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung usul tersebut.
Terdahulu, Ahmad Zahid mendakwa RoS telah memberi kelulusan terhadap usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan seperti diluluskan dalam Perhimpunan Agung.
Katanya, surat pengesahan berhubung kelulusan tersebut telah diterima partinya semalam, termasuk pengecualian daripada pematuhan kepada Seksyen 13 (1)(c) (4) Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Malah, beliau mendakwa RoS mendapati kelulusan usul itu mengikut Akta Pertubuhan dan berkuat kuasa sepenuhnya serta memberi keabsahan yang mana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO itu tidak dipertandingkan.