SELEPAS jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, perebutan jawatan Naib Presiden parti dalam pemilihan kali ini menarik perhatian apabila bakal menyaksikan pertembungan lapan calon.
Enam calon baharu bakal mencabar penyandang iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid manakala Ahli Parlimen Bera yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahankan jawatan itu.
Enam calon yang bakal mencabar jawatan berkenaan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said; bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Turut bertanding Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri.
Persaingan perebutan jawatan berkenaan dijangka sengit dengan beberapa nama dilihat menjadi antara pilihan mengisi tiga jawatan Naib Presiden itu seperti Johari, Azalina selain Khaled dijangka mampu mengekalkan jawatan.
Dalam kesemua calon tersebut, antara nama-nama yang dilihat ‘orang kuat’ Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah seperti Khaled dan Azalina yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk menang.
Sementara itu, bagi calon ahli MKT, seramai 95 calon layak bertanding termasuk Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Akar umbi akan membuat pilihan terbaik yang dijangka mengimbangi antara mereka yang dikatakan orang kuat Presiden atau muka-muka baharu mengisi barisan kepemimpinan.
Dalam pada itu, pertembungan bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita antara
Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan veteran UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil juga antara yang paling menarik perhatian.
Shahrizat yang membuat kemunculan semula dilihat sebagai pilihan untuk menang bagi mengembalikan semula taring Wanita UMNO yang dilihat agak suram kebelakangan ini.
Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO pula menyaksikan perebutan antara empat calon iaitu Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.
Saingan bagi jawatan tersebut agak terbuka dengan Muhamad Akmal dilihat antara yang menjadi pilihan mengisi jawatan berkenaan.
Perebutan bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula melibatkan enam calon termasuk Naib Ketua Puteri, Nurul Amal Mohd Fauzi, Ahli MKT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Mohd Fauzi.
Bagi mengembalikan aura puteri, Khaidhirah dilihat calon yang paling sesuai mengisi jawatan berkenaan namun semua itu terserah kepada akar umbi yang bakal membuat pilihan.