Mengenang Ismail Sabri Dalam Memecah Hegemoni Lapuk Politik Nasional.

Mengenang Ismail Sabri Dalam Memecah Hegemoni Lapuk Politik Nasional.

Oleh Adam Mukhriz

Terlebih dahulu, perlu diterangkan dan jelas di sini, tulisan ini bukanlah untuk mengangkat atau menyanjung subjek utama kandungan. Jauh sama sekali tulisan yang dibayar sebagai propaganda mengangkat mana-mana politikus dan elitis. Konteks utama perbincangan adalah bagaimana kita melihat sosok marhaen yang menerajui pentas utama pentadbiran negara, buat pertama kalinya dalam sejarah.

Melihat kembali lembaran sejarah lapan orang yang berjaya menduduki kerusi teratas di Putrajaya sebelum ini, bermula dengan Tunku Abdul Rahman sehingga Tun Dr Mahathir (4 dan 8), kesemuanya berlatarkan dari galur keluarga bangsawan dan elit. Tun Dr Mahathir walau bukan dari keturunan bangsawan, untuk beliau yang membesar sebagai seorang anak pengasas sekolah di Alor Setar lebih 120 tahun dahulu, taraf beliau dianggap kelas menengah atas. Di waktu itu, mampu untuk membina dan berada dalam bidang pendidikan dan profesional adalah satu kelebihan dan “kemewahan” yang hanya mampu dimiliki minoriti.

Tahun 2021, buat pertama kali dalam sejarah politik nasional, seorang Perdana Menteri bukan dari kelas bangsawan berjaya menjadi orang nombor satu negara. Ketepikan dahulu soal mengenai aturan lantikan beliau yang sememangnya tidak mengikut lunas demokrasi yang tulen. Tetapi harus diingat, pelantikan beliau dilakukan oleh Istana bagi menyelesaikan krisis politik yang meruncing dan kesihatan yang merencatkan pertumbuhan negara.

Ismail Sabri adalah bekas Perdana Menteri yang asli dari kelompok marhaen, menceburi bidang politik lantaran dari peluang dan lanjutan karier guamannya; hasil dari latar pendidikan, anak kampung yang berjaya mencapai cita-cita dalam dunia profesionalisme. Jika dilihat dari satu spektrum struktur masyarakat di negara ini, adalah suatu yang hampir mustahil untuk mana-mana unit sosial merubah status sosial mereka jika tidak ada loncatan yang membenarkan melalui aspek utama, iaitu perkahwinan. Teori ini digelar “Mobiliti Sosial”.

Mengapa perkahwinan? Ringkasnya, seorang petani yang berpendapatan rendah (dalam kategori kelas yang ditakrifkan dalam negara) akan menjadi seorang bangsawan jika berkahwin dengan anak Raja/ Sultan/ Pembesar. Walaupun beliau masih mengusahakan pertanian dengan hasil pendapatan yang sama, faktor perkahwinannya telah memobilisasikan taraf sosial beliau ke tahap yang paling atas.

Seorang guru yang berpendapatan sederhana, berkahwin dengan juga seorang guru, taraf sosialnya adalah tetap sama, walaupun jika dicampur pendapatan isi rumah dan aspek kestabilan, guru tersebut telah terjamin dan mempunyai kehidupan yang agak selesa. Kelas sosialnya tetap tidak akan berubah. Begitulah hakikatnya. Ismail Sabri, walaupun telah berjaya menukar status sosialnya melalui karier profesional dan jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara, bagi penulis beliau bukan bangsawan dan masih berada dalam kelas yang sama dengan rakyat marhaen.

Apa kaitan perbahasan teori ini dengan Ismail Sabri?

Figura ini adalah antara pimpinan induk parti UMNO yang muncul di era Tun Abdullah Badawi, bermakna beliau tidak melalui fasa Mahathirisme. Warlord-warlord yang membesar dan mencapai pucuk pimpinan parti dalam era Mahathirisme mempunyai karakter yang hampir sama di peringkat nasional. Ditambah dengan latar belakangnya dari kelompok marhaen yang bergelumang dengan elitis dalam parti tua ini.

Oleh itu, beliau adalah sosok yang menarik dijadikan kajian kes dalam melihat kesan pengaruh dasar dan landskap sosiopolitik negara dari sistem pengelasan sosial dan psikologi.

Tidak hairanlah jika banyak dasar yang diperkenalkan beliau kebanyakan membumi dan tidak populis. Tidak banyak liputan berita bernaratifkan politik dari beliau, walaupun sudah hampir 40 tahun dalam dunia politik. Ini menjadikan wataknya sebagai kurang menonjol dan tidak dikenali oleh golongan muda. Beliau konsisten dengan watak “Mr. Nice Guy”.

Dalam tempoh pemerintahan yang singkat, beliau berjaya melaksanakan beberapa dasar Kerajaan yang mencakupi pelbagai segmen dan kategori bagi memastikan setiap individu turut merasai manfaat dari inisiatif yang dicetuskan beliau.

Masih ingat dengan slogan Keluarga Malaysia?

Ia bukanlah hanya satu slogan dan tema bagi program-program rasmi Kerajaan semata, bahkan telah diinstitusikan melalui Yayasan Keluarga Malaysia bagi membantu anak-anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik. Anak-anak ini akan disara sehingga tamat pengajian mereka. Berapa ramai yang ambil maklum akan perkara ini?

Isu ibu tunggal yang dinafikan hak mereka, diselesaikan dengan gaya yang agak kreatif melalui pelan Pemerkasaan Wanita di mana akaun bank bekas suami akan dibekukan jika gagal menunaikan nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak. Ini sesuatu yang amat wajar diberi liputan meluas. Soalan; siapa yang maklum akan perkara ini?

Dengan pelbagai lagi jenis bantuan dan inisiatif yang berfokuskan kepada kumpulan B40, masih ramai yang tidak tahu berkenaan bantuan-bantuan tersebut kerana apa? Lambakan liputan media yang hanya meraikan kemelut politik dan terlalu ghairah menjual isu-isu yang tidak signifikan dengan kehendak rakyat.

Kajian kes menguatkan lagi beberapa teori kelas sosial dan psikologi masyarakat, di mana jurang perbezaan kelas di awal tumbesaran memberi kesan kepada gaya kepimpinan dan pentadbiran yang berbeza. Watak bangsawan dari Tunku Abdul Rahman dan Tun Abd Razak, menaungi rakyat dalam cara seorang ayah melatih anak kecilnya untuk berjalan. Rakyat pasca kemerdekaan dibelenggu dengan kemiskinan, jurang ekonomi yang sangat besar dan sentimen perkauman yang meruncing; dua pemimpin terawal ini melatih minda masyarakat berkenaan kepentingan nasionalisme dalam menguatkan pentadbiran sekaligus mengukuhkan semangat kesatuan dalam negara.

Di era Tun Razak, beliau mula melihat kesatuan masyarakat sahaja tidak cukup jika poket selalu kosong dan emosi rakyat dipengaruhi kurangnya zat makanan berkhasiat, sekaligus memperkenalkan beberapa dasar yang memberi impak positif dalam aspek jurang ekonomi hingga ke hari ini. Memasuki era Tun Mahathir, beliau sedaya upaya membawa negara ke paltform yang lebih bersifat global dengan pendekatan yang lebih “keras”.

Tun Abdullah Badawi, mengalihkan semula pandangan material masyarakat kepada bidang pertanian yang makin tidak popular dalam masyarakat. Najib, meneruskan legasi dengan gaya kepimpinan mirip ayahnya, dan dasar ekonominya diterima baik oleh penduduk luar bandar terutamanya. Sayangnya, palitan skandal membabitkan beliau mencacatkan segala visi politiknya.

Masyarakat di negara ini sudah melalui pelbagai fasa dan model pemerintahan sejak mencapai kemerdekaan. Generasi dari setiap lapisan era boleh menilai dan memberi pandangan tersendiri dari sudut perbandingan isu politik nasional dulu dan sekarang.

Jika disemak semula, krisis dan skandal politik membabitkan Ismail Sabri boleh dihitung dengan jari sahaja, dan tidak terlalu berat seperti tanggapan dan tuduhan terhadap beberapa pemimpin lain.

Beberapa hari lepas, Ismail Sabri melalui satu wawancara khas memaklumkan penggal ini adalah yang terakhir buatnya sebagai ahli Parlimen kawasan Bera dan akan bersara dari dunia politik. Bagi penulis, keputusan ini diambil setelah beliau dilihat tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan utama parti yang melakukan beberapa tindakan mengejutkan hujung bulan lepas dengan memecat beberapa pemimpin berpengaruh dalam parti UMNO.

Secara peribadi, penulis turut berpandangan hal yang sama jika berada di tempat beliau. Dengan parti yang makin hilang arah tuju dan menunggu masa untuk terus berkubur, ada baiknya beliau sebagai mantan Perdana Menteri tidak turut menjerumuskan diri beliau bersama kapal yang makin karam. Generasi pada hari ini mungkin kurang pendedahan mengenai jasa beliau, tapi satu hari nanti nama Ismail Sabri tetap akan terpahat dalam lipatan sejarah dengan imejnya yang bersih dan rendah diri.

Ismail Sabri, mengambil alih pentadbiran negara dalam suasana yang kucar kacir dan boleh dikatakan krisis yang membawa negara 10 tahun ke belakang, ditambah pula dengan pandemik kesihatan yang hampir membunuh semangat dan kepercayaan rakyat terhadap autoriti. Kesibukan mengendali isu-isu berkait dan pada masa sama berusaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada politik negara adalah beban tugas yang maha berat, dan jika kita tidak bersetuju sekalipun dengan pelantikan beliau, sekurangnya kita harus akui jasa beliau dalam memandu negara dalam mobil yang sudah hampir rabak.

Terima kasih, DSIS.

About Post Author

One Comment on “Mengenang Ismail Sabri Dalam Memecah Hegemoni Lapuk Politik Nasional.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *