Sedekah, rasuah perkara yang berbeza bergantung kepada nawaitu

 

KOTA BHARU: Pas menegaskan tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau rasuah namun tidak menghalang jika ada individu memberi sumbangan atas niat sedekah.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, sedekah dan rasuah adalah dua situasi yang berbeza dengan bergantung kepada nawaitu seseorang pemberi itu.

Katanya, jika memberi duit pada seseorang untuk tujuan menarik undi ia adalah salah namun sekiranya seseorang itu ikhlas memberi sedekah dengan tidak mengharapkan apa-apa balasan itu tidak menjadi sebarang kesalahan.

“Sedekah itu benda dalaman, keiklasan dengan niat untuk bersedekah dan dapat pahala. Ia berbeza dengan rasuah dengan perbezaan itu terletak kepada niat seseorang itu.

“Sebagai contoh memberi RM10 atas tujuan rasuah itu adalah salah dan berdosa namun jika beri 50 sen atas niat sedekah ia memberi pahala. Allah SWT tahu semua,” katanya.

Kelmarin media melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas.

Bagaimanapun kenyataan Abdul Hadi itu mendapat reaksi yang pelbagai antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi peringatan agar Ahli Parlimen Marang itu tidak seharusnya menukar sesuatu hukum atau fatwa dengan sewenang-wenangnya bagi mempertahan perbuatan yang berpihak partinya.

“Kalau dia buat sedekah, kalau kita bagi (dikatakan) rasuah. Ulama ini jangan tukar-tukar hukum atau fatwa la, (kalau tidak) akhirnya ulama politik tidak dihormati oleh rakyat dan orang Islam.

“Ulama kena ada integriti sebagai ulama, jangan tukar-tukar fatwa,” katanya Ahmad Zahid kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA, Wisma MCA, kelmarin.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, Pas dituduh kononya mempunyai duit banyak dan memberi rasuah kepada pengundi dalam PRU15 namun hakikatnya perkara itu tidak benar sama sekali.

“Sekarang ini biasalah ada pihak akan terus menyerang kita namun ia tidak akan menjejaskan Pas kerana Allah SWT tahu semuanya,” katanya.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *