Penggemar patin kempunan, bekalan ikan kurang

JERANTUT – Penggemar ikan patin termasuk pengunjung dari luar daerah ini kempunan untuk merasa keenakan spesies itu susulan bekalannya tidak mencukupi di pasaran.

Difahamkan, bekalan ikan pa­tin sangkar di daerah ini menghadapi masalah sejak penghujung Disember tahun lalu dan masih berlarutan sehingga perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu ini.

Seorang pelanggan, Mariani Ismail, 52, ketika ditemui di sebuah gerai menjual ikan patin sangkar di Kampung Jerantut Feri di sini, berkata, dia kecewa apabila tidak mendapat bekalan ikan patin untuk hidangan gulai tempoyak kepada saudara-mara yang datang bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Pada mulanya saya ke Pasar Besar Jerantut untuk mendapatkan ikan patin, tetapi cuma lima ekor sahaja ikan yang bersaiz kecil. Penjual memberitahu, mereka hanya mendapat bekalan dalam saiz berkenaan daripada penternak sangkar.

“Kemudian, saya ke gerai penjual ikan sangkar di Jerantut Feri, tetapi bekalan ikan patin tiada juga, cuma yang ada ikan tilapia,” katanya.

Seorang pelancong tempatan dari Puchong, Selangor, Azahari Abdullah, 56, berkata, hasratnya untuk membeli ikan patin yang bersaiz lebih besar tidak kesampaian apabila hanya ikan patin bersaiz kecil kira-kira seberat 600 gram yang dijual.

“Sebelum ini, ketika berkunjung ke Jerantut atas urusan kerja, saya dapat beli ikan patin seberat lebih 1 kilogram dan dapat menikmati rasa isinya le­bih enak dan lemak apabila dimasak gulai asam tempoyak.

“Ikan patin atau jenis ikan liar lain bersaiz kecil tidak sesuai dimasak campur asam tempoyak dan dibuat pais (tempoyak) berbanding yang agak besar,” ­katanya.

Dalam pada itu, seorang penjual ikan sangkar di gerai Kampung Jerantut Feri, Mohd Ali Mat Isa, 48, berkata, sejak awal tahun ini, bekalan ikan patin mulai berkurangan.

Katanya, kekurangan bekalan itu dipercayai berpunca daripada faktor air Sungai Pahang yang keruh menyebabkan banyak benih ikan mati.

“Saya juga ada menternak ikan patin di 15 buah sangkar, yang mana setiap sangkar dipelihara kira-kira 2,000 benih ikan.

“Hanya 700 ekor hidup akibat air yang keruh,” katanya.

 

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *