2 isteri ibarat ‘hidup dan mati’ saya

Kuantan: “Mereka berdua ibarat nyawa saya… hidup dan mati saya,” kata Maaroof Noordin, 58, menggambarkan kasihnya terhadap isteri, Noraini Ishak dan Eff Rizam Abd Ghafar, masing-masing berusia 42 tahun.

Kedua-dua isterinya itu, Noraini dan Eff Rizam bukan sahaja mampu berkongsi kasih dengan Maaroof malah kini setia menjaganya yang terlantar sakit, meskipun dalam keadaan hidup mereka dihimpit kesusahan.

Maaroof berkata, kehidupan mereka bertiga berubah selepas dia kehilangan kaki kirinya akibat penyakit kencing manis pada Oktober lalu sekali gus tidak lagi mampu meneruskan pekerjaannya sebagai tukang rumah.

“Kini isteri kedua (Eff Rizam) terpaksa menggalas tugas menyara keluarga bekerja sebagai tukang kebun di sebuah kilang di Gebeng dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Isteri pertama (Noraini) pula menguruskan rumah termasuk menjaga keperluan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Cherating Lama, di sini, hari ini.

Mengenai perkahwinannya dengan kedua-dua isterinya itu, Maaroof berkata, dia berkahwin dengan isteri pertama sejak 2007 dan kini sudah hampir lima tahun berpoligami, namun tidak dikurniakan anak bersama kedua-dua isterinya itu.

Sementara itu, Eff Rizam berkata, dia dan madunya sudah membahagikan tanggungjawab masing-masing selepas suaminya terpaksa dipotong kaki kerana penyakit kencing manis.

“Namun dengan pendapatan sekarang memang tidak mencukupi malah sewa rumah dan bil api air juga sudah dua bulan tertunggak.

“Untuk kos rawatan suami termasuk barang keperluan dan kos ulang alik ke hospital sahaja sudah mencecah RM600 sebulan,” katanya.

Terdahulu, nasib keluarga terbabit mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) Amal Team yang memberikan sumbangan berupa katil, kerusi roda serta barangan keperluan harian termasuk makanan.

Pemudah Cara Amal Team, Jamilah Salleh berkata, selain bantuan awal yang diberikan, pihaknya juga telah memanjangkan kes berkenaan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang untuk bantuan selanjutnya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Maarof bersama isterinya, Noraini dan Effa Rizam boleh menghubungi talian 016-800 6507 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan pula boleh berbuat demikian melalui pindahan wang ke akaun Bank Simpanan Nasional 11111 41000 296605 atas nama Maaroof Noordin.

 

Kredit : Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *