Pas tidak pernah amal politik wang macam parti lain

PETALING JAYA: Pas tidak pernah mengamalkan politik wang, sogokan atau rasuah kepada seperti yang didakwa beberapa pihak.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi jelas bercanggah dengan kenyataan sebenar Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Presiden ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan menyebut, undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil-wakil calon memberi sumbangan kepada pengundi.

“Tetapi, jika ada individu atau orang awam hendak memberi sumbangan, terpulang kepada mereka sendiri. Adapun sumbangan orang awam tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau Pas sebagai parti yang bertanding. 

“Oleh itu, adalah ditegaskan Pas tidak pernah mengamalkan politik wang, berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang sama ada dalam pemilihan parti atau pilihan raya dan tiada keabsahan moral untuk membangkitkan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi sebelum ini mempertahan pengagihan wang tunai oleh parti itu kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dengan mendakwa ia adalah ‘sedekah’ dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Beliau juga dilapor sebagai berkata, peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil kemudian membalas, pemberian wang tunai kepada pengundi untuk ‘membeli undi’ semasa pilihan raya umum bukan sedekah, sebaliknya berbentuk sogokan atau rasuah.

Ahmad Zahid kemudian menyelar sikap ‘pilih kasih’ Abdul Hadi yang mempertahan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika pilihan raya dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, petisyen pilihan raya difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen negeri itu sepanjang tempoh kempen PRU15.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu mendakwa, Pas menabur wang antara 15 hingga 17 November lalu iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15 dengan kebanyakan isi rumah menerima wang antara RM500 hingga RM1,000.

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *