Air bukit jadi penyelamat

Gua Musang: Sejak dua tahun lalu, 150 penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, di sini masih tidak mendapat bekalan air bersih.

Walaupun sudah dipasang meter dan paip air, perkhidmatan daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) itu tidak berfungsi dengan baik, yang menyebabkan penduduk bergantung kepada air bukit yang ditandak di kawasan empat kilometer (km) dari kediaman mereka.

Mohd Noor fazley Hussein, 32, berkata, sudah biasa menggunakan air bukit itu sejak dua tahun lalu memandangkan tiada bekalan air bersih walaupun terpaksa membayar bil air sekurang-kurangnya RM5 setiap bulan.

“Kami tiada pilihan, ini satu-satunya (air bukit) sumber air yang kami ada untuk meneruskan aktiviti seharian termasuk memasak, walaupun sedar risiko ia tidak bersih dan keruh apabila hujan.

“Setiap bulan penduduk seramai 28 keluarga akan mengumpul RM10 (setiap keluarga) untuk mengurus dan membersihkan sumber air kami,” katanya ketika ditemui di RKT Kesedar Renok Baru, di sini.

Bagi Muhamad Sanazi Tahir, 29, dia dan rakannya akan ke kawasan berhampiran sungai yang menempatkan tadahan air mereka untuk pembersihan.

“Jika hujan berterusan, lebih kerap kami perlu ke sana untuk membersihkan daun-daun dan ranting kayu yang boleh menyebabkan saluran air tersumbat.

“Jadi saya harap pihak berwajib dapat membantu kami menyediakan air bersih seperti di kawasan lain,” katanya yang perlu berjalan dua km dalam hutan untuk ke kawasan air itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, beliau mengambil maklum masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan dan memanjangkannya kepada pihak berkaitan untuk penyelesaian.

Katanya berharap pihak AKSB akan mencari jalan penyelesaian segera memandangkan air adalah keperluan asas utama buat penduduk.

 

Kredit : Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *