Peniaga rugi bekalan air terganggu sejak Rabu

DUNGUN – Pengusaha kedai makan mengalami kerugian apabila terpaksa menutup operasi, manakala sebahagian mereka yang meneruskan perniagaan pula menggunakan peralatan pakai buang ekoran ketiadaan bekalan air.

Gangguan bekalan air di Felda Kerteh 2 dan 3 di sini itu berlaku selepas paip pecah akibat dilanggar sebuah tongkang penyelenggaraan pada Rabu lalu.

Seorang pengusaha kedai makan di Felda Kerteh 2, Noraini Awang Ahmad, 48, berkata, dia tiada pilihan selain menutup premis perniagaan walaupun terpaksa menanggung kerugian.

“Tanpa bekalan air, operasi kedai makan seperti memasak dan membasuh pinggan serta periuk tidak dapat dilakukan.

“Lebih baik saya tutup kedai biarpun ini sahaja sumber pendapatan saya sekeluarga,” kata­nya kepada Kosmo! Ahad.

Noraini berkata, dia bimbang jika terpaksa menutup kedai le­bih lama kerana perlu melunaskan hutang Amanah Ikhtiar Malaysia secara mingguan.

Seorang lagi pengusaha kedai makan, Hartini Samad, 33, berkata, dia terpaksa membuka operasi bagi mengelakkan bahan-bahan mentah yang sudah dibeli rosak begitu sahaja.

“Saya berniaga mi sup dan sudah memproses ayam serta da­ging lebih awal. Tidak boleh buat apa kerana gangguan bekalan air ini berlaku secara mengejut.

“Saya terpaksa mengeluarkan modal untuk membeli pinggan, sudu dan cawan plastik pakai buang serta air mineral untuk terus membuka kedai,” katanya.

Pada Rabu lalu, sebuah paip pembekalan berukuran 700 mi­li­meter patah akibat dilanggar tongkang penyelenggaraan sewaktu kerja-kerja membaik pulih struktur sokongan berhampiran Jambatan Paka di sini.

Kerosakan itu menyebabkan ribuan penduduk Felda Kerteh 2 dan 3 serta Ketengah Jaya di sini mengalami gangguan bekalan air selama seminggu.

 

Kredit : Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *