Kemelut politik berpanjangan pasca PRU14

 

KEMELUT politik yang melanda negara tidak pernah sunyi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) selepas lebih 60 tahun.

Bermula dengan langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan sekumpulan pemimpin PKR diketuai Datuk Seri Mohamad Azmin Ali keluar parti serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari PH sekali gus menyaksikan kerajaan 22 bulan itu tumbang.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Selepas lebih seminggu kemelut tersebut berlarutan akhirnya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac 2020
mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Semasa pemerintahan Muhyiddin, kemelut politik tersebut masih belum reda disebalik ancaman Covid-19 ketika itu sehingga
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Selepas itu, pada 7 Julai 2021, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin dan menuntut beliau meletak jawatan bagi memberi laluan kepada seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.

Dua minggu kemudian, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mendesak Muhyiddin letak jawatan kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen.

Akhirnya pada 3 Ogos 2021 MKT UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Bagaimanapun, pada 6 Ogos 2021, seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Muhyiddin yang masih tidak berputus asa mengekalkan jawatan pada 13 Ogos 2021
mengemukakan cadangan persefahaman rentas parti bagi membolehkan usul percaya kepada Perdana Menteri diluluskan dengan undi bipartisan di Dewan Rakyat, sekali gus kerajaan boleh terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai untuk diadakan PRU-15.

Tiga hari kemudian Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Selepas beberapa hari kemelut pemilihan Perdana Menteri baharu, akhirnya Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh selepas 2018 itu, turut terdapat perkembangan yang menyaksikan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara 15 pemimpin UMNO pernah membuat surat akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

Namun perkara itu terus dinafikan sehingga akhirnya selepas PRU15, situasi tersebut benar-benar berlaku dengan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri selepas turut mendapat sokongan BN dalam kerajaan Perpaduan.

Kemelut politik di peringkat Pusat turut berlarutan di beberapa negeri sehingga menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan di Johor, Melaka dan Sabah.

Kemelut tersebut bermula di Sabah dengan pada 21 Julai 2020 dilaporkan terdapat usaha
menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Warisan apabila Tan Sri Musa Aman dikatakan memperlolehi majoriti mudah, dengan beberapa ADUN blok kerajaan negeri didakwa meninggalkan parti.

Musa mendakwa telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan beberapa parti di negeri itu.

Pada 30 Julai, Ketua Menteri, Datuk Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan. PRN Sabah selepas itu menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menguasai kerajaan negeri itu.

Di Melaka, tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) menyaksikan kerajaan negeri itu tumbang.

Pada 4 Oktober 2021, DUN Melaka dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan dengan dalam pilihan raya tersebut menyaksikan BN memperolehi kemenangan besar.

Di Johor selapas PRU14 menyaksikan beberapa kali Menteri Besar bertukar sehingga pada
22 januari 2022, Menteri Besar ketika itu,
Datuk Ir. Hasni Mohammad mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pembubaran DUN itu dibuat selepas Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang.

PRN Johor pada 12 Mac 2022 itu menyaksikan
BN meraih kemenangan majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh di negeri itu. BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PRU15 pada November lalu yang menyaksikan terbentuknya kerajaan Perpaduan diketuai Anwar diharap dapat meredakan kemelut politik sebelum ini yang menyaksikan kerajaan tidak stabil termasuk dengan penukaran sehingga beberapa kali jawatan Perdana Menteri.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *