Jangan biarkan demokrasi dalam UMNO mati

 

 

UMNO nampaknya masih belum sedar dan mengambil pengajaran selepas dimalukan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

UMNO hanya menang 26 kerusi iaitu pencapaian jauh lebih teruk berbanding pilihan raya sebelum itu.

Sepatutnya pemilihan parti yang bakal diadakan sebelum 19 Mei depan dibuka seluas-luasnya untuk pertandingan khususnya bagi merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden bukan menutup ruang demokrasi tersebut.

Biar akar umbi tentukan sama ada mahu mengekalkan pemimpin sedia ada atau kepemimpinan baharu bagi mencorak kembali UMNO dalam meraih keyakinan rakyat dan mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16 dalam keadaan lebih kuat.

Namun keputusan seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara yang menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya tidak dipertandingkan dilihat sangat mengecewakan dan dikhuatiri akan menyebabkan keyakinan rakyat makin hilang.

Alasan tidak mahu mengundang perpecahan di dalam parti dan mahu mengukuhkan parti mendepani PRN dilihat agak tidak masuk akal.

UMNO sebuah parti yang cukup berpengalaman dan setiap kali berlaku ketegangan ia diibarat seperti ‘ribut dalam cawan’ sahaja yang akan selesai selepas itu.

Rakyat sebenarnya masih sayang kepada UMNO sebuah parti yang cukup berjasa dalam mencorak pembangunan negara selama ini. Mereka ingin melihat UMNO berubah dengan kepemimpinan yang lebih diyakini.

Namun jika pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti itu tidak dibuka bagaimana kita hendak melihat perubahan dalam UMNO. Jika Ahmad Zahid masih mendapat kepercayaan akar umbi, tidak perlu risau untuk dicabar.

Jangan biarkan UMNO yang semakin karam tenggelam sepenuhnya dalam PRU16. UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu dan jika orang Melayu sendiri sudah tidak menyokong UMNO, ia adalah masalah cukup besar yang perlu diberikan perhatian.

Bak kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin, tindakan lebih 100 ketua bahagian yang mahu supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding dalam pemilihan parti sebagai suatu ‘kegilaan’.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu menegaskan, tiada sesiapa yang wajar membenarkan demokrasi dalam UMNO dimatikan.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *