Mansuh pencen boleh dilaksana, terserah keputusan jemaah menteri

 

KOTA BHARU: Pemansuhan pencen anggota Kabinet sebenarnya boleh dilaksanakan melalui keputusan jemaah menteri memandangkan perkara tersebut di bawah Akta Parlimen.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, jemaah menteri boleh membuat cadangan terhadap pindaan tersebut.

Katanya, situasi tersebut berbeza dengan pencen perkhidmatan awam yang mempunyai peruntukan nyata di dalam Perlembagaan.

Ujarnya, Perkara 43 (9) Perlembagaan Persekutuan menyebut Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan anggota jemaah menteri.

“Jadi tidak sebut perkataan pencen, saraan sahaja, jadi tidak ada masalah kalau hendak semak kembali bagaimana bentuk saraan kepada anggota Kabinet, ahli Parlimen.

“Soal pencen anggota Kabinet tidak ada peruntukan nyata di dalam Perlembagaan sebaliknya melalui Akta Parlimen.

“Terserah kepada keputusan jemaah menteri sahaja untuk cadang pindaan tersebut (Pemansuhan pencen anggota Kabinet). Kerajaan boleh pinda Akta Parlimen jika hendak melaksanakan cadangan tersebut, tidak ada masalah,” katanya.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan mampu menjimatkan RM100 sehingga RM150 juta perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota Kabinet dimansuhkan.

Menurut Noor Amin, berdasarkan sistem semasa negara dan jumlah bekas Kabinet yang layak menerima pencen, kos yang ditanggung untuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen adalah RM100 hingga RM150 juta setahun.

Kata Noor Amin, pihak berkenaan sepatutnya tidak perlu diberikan pencen kerana ia dibayar berdasarkan cabang sistem eksekutif, bukan legislatif dan cukup sekadar mengambil gratuiti yang lumayan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan memansuhkan atau mengurangkan pencen anggota Kabinet adalah tidak munasabah kerana perkara berkaitan pencen termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Wan Ahmad Fauzi, isu pemansuhan pencen anggota Kabinet boleh disemak dan terpulang kepada jemaah menteri.

Dalam pada itu, beliau berkata, pencen anggota Kabinet mungkin boleh disyaratkan jika telah berkhidmat dua penggal, dan satu penggal penuh untuk Perdana Menteri.

“Setiap keputusan perlu dilihat daripada pelbagai sudut kewajaran jika perkara itu (pencen) disentuh. Apa pun terserah kepada keputusan jemaah menteri berhubung perkara itu,” katanya.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *