Pemilihan UMNO bukan untuk memecahkan sebaliknya mengukuhkan parti

 

PERLU diakui populariti UMNO dan sokongan khususnya dalam kalangan anak muda terhadap parti keramat orang Melayu itu
semakin hilang dan perkara tersebut terbukti selepas UMNO hanya mampu menang 26 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Meskipun berjaya berada di dalam kerajaan yang terbentuk bersama Pakatan Harapan (PH), namun parti perlu melakukan pembaharuan dan mencari jalan serta lebih banyak usaha bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada UMNO yang telah banyak berjasa dalam mencorak pembangunan negara selama ini.

Justeru, pemilihan UMNO yang bakal berlangsung tahun depan dilihat sangat penting bagi mencorak semula parti itu selepas kalah teruk dalam PRU15.

Pemilihan tersebut juga bakal menjadi platform untuk melihat maklum balas ahli khususnya dalam soal kekalahan dalam pilihan raya dan kerjasama bersama PH membentuk kerajaan.

Jika keputusan tersebut dianggap tepat, akar umbi atau ahli sudah pastinya akan kembali menyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden sekali gus kredibiliti Timbalan Perdana Menteri itu dalam kalangan akar umbi akan kembali mengukuh.

Jika dilihat, membuka semua jawatan untuk dipertand­ingkan adalah jalan terbaik meskipun terdapat cadangan agar jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan kononnya bagi mengelak perpecahan lebih teruk.

Biarlah mana-mana pemimpin di dalam UMNO yang merasakan layak menawarkan diri untuk merebut jawatan nombor satu dan dua parti itu seterusnya terserah kepada para perwakilan membuat pilihan. Jika perwakilan masih mahu mengekalkan kepemimpinan sedia ada, itu adalah hak mereka dan begitulah sebaliknya.

Pemilihan bukan untuk memecahkan sebaliknya akan kembali mengukuhkan parti.

Pemilihan kali ini juga disifatkan sangat penting untuk melihat reaksi akar umbi terhadap beberapa keputusan yang dibuat pucuk pimpinan selepas PRU15 termasuk langkah bergabung membentuk kerajaan perpaduan. Adakah akar umbi menyokong kerjasama itu.

Apa yang penting UMNO perlu kembali bangkit menjadi parti nombor satu sebagai pilihan orang Melayu khususnya. Kini, UMNO sudah menjadi pilihan ketiga selepas Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Situasi tersebut sememangnya tidak pernah dijangka namun itulah hakikat yang perlu diterima.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *