Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO wajar dipertandingkan

 

KOTA BHARU : Jawatan presiden dan timbalan presiden serta semua jawatan lain perlu dipertandingkan dalam pemilihan UMNO tahun depan agar parti tersebut tidak dilabelkan sebagai tidak demokratik, diktator dan autokrasi.

Pemilihan tersebut juga sangat penting untuk melihat maklum balas ahli dan akar umbi selepas keadaan UMNO yang agak merosot apabila tewas teruk di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, UMNO dilihat tidak mempunyai kes ada keadaan khas yang memerlukan jawatan presiden dan timbalan tidak dpertandingkan.

Katanya, pemilihan tersebut perlu dilaksanakan dan inilah platform terbaik untuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan hala tuju
terkini UMNO selain mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti.

Katanya, Ahmad Zahid tidak boleh lari daripada memberi penjelasan selepas UMNO kalah teruk dalam pilihan raya baru-baru ini.

“Kalau tidak dipertandingkan, imej Ahmad Zahid dilihat akan lebih teruk pada pandangan ahli.

“Kekalahan lampau harus ditebus dengan pemilihan dan kalau Ahmad Zahid masih menang akan menguatkan kredibiliti beliau untuk terus menerajui UMNO.

“Ahmad Zahid boleh menggunakan alasan atas kebijaksanaan beliau menjadikan UMNO sebagai ‘king maker’ pembentukan kerajaan. Tanpa kebijaksanaan beliau sebagai ‘king maker’, UMNO mungkin akan menjadi pembangkang dan akan lebih teruk,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, kerajaan juga berkemungkinan berdepan risiko tumbang sekiranya UMNO mendapat presiden baharu dalam pemilihan parti itu nanti.

“Sekiranya barisan kepemimpinan UMNO di bawah presiden baharu membuat keputusan keluar daripada kerajaan dan menyokong Perikatan Nasional (PN) maka kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang. Itu antara risikonya,” katanya.

-Habis-

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *