Ahli Parlimen Pas jangan asyik serah mikrofon

SAUDARA PENGARANG,

SENTIMEN agama dan kaum yang dimainkan pihak-pihak tertentu membuatkan ramai Melayu-Islam terutama anak-anak muda dalam kategori Undi18 bersimpati dan memihak kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Waima sejahat mana sekalipun orang Melayu-Islam itu, jika agama, kaum dan rajanya dihina, dimaki dan dicerca, dia akan berasa marah dan akan bertindak juga.

Mungkin ada hikmahnya jika sebilangan besar ahli Parlimen Pas tidak dilantik sebagai menteri ataupun timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan.

Adalah lebih baik bagi mereka untuk menumpukan kepada kawasan Parlimen yang mereka menangi.

Jaga kawasan Parlimen baik-baik agar di PRU16 nanti Pas tidak kehilangan kerusi yang telah mereka menangi itu.

Dengan bilangan ahli Parlimen yang ramai di Dewan Rakyat, Pas boleh menjadi penentu kepada beberapa keputusan bersandarkan kepada bilangan undi.

Pas banyak memenangi kerusi Parlimen di kawasan luar bandar yang ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur seperti jalan raya berkualiti, jambatan kukuh dan bangunan pejabat, perniagaan serta kediaman moden.

Semua itu memerlukan modal besar dan kerajaan negeri di mana Pas memerintah mempunyai dana terhad.

Sekiranya sukar untuk mendapat bantuan daripada kerajaan Pusat, Pas harus beralih strategi ke arah pembangunan yang kurang perbelanjaan.

Saya ingin mencadangkan agar Pas melabur dalam peningkatan ilmu dalam internet benda (IoT) dan pendigitalan perniagaan.

Perlu kerjasama dengan mana-mana pihak untuk menyediakan liputan internet yang pantas, luas dan bebas gangguan di pedalaman.

Beri pendedahan dan tingkatkan ilmu pengetahuan dalam dua bidang utama ini kepada anak-anak muda serta peniaga kecil dan sederhana di situ.

Koboi

Penguasaan ekonomi digital akan memudahkan mereka bersaing di pasaran global dan memasarkan produk di peringkat antarabangsa.

Kalau boleh, jangan ada lagi orang jual jeruk di tepi lampu isyarat atau menjual keropok di depan bank dan di tempat letak kenderaan. Dalam pada itu, imej ahli Parlimen Pas selalu juga menjadi perhatian rakyat.

Apa yang dipakai di atas kepala oleh ahli Parlimen parti itu sama ada kopiah, songkok mahupun topi koboi tidak begitu penting bagi sebahagian besar rakyat tetapi yang lebih utama ialah apa yang ada di dalam kepalanya.

Mereka bukan sahaja mesti seorang yang alim malahan perlu bijaksana. Janganlah selalu sangat menyerahkan mikrofon kepada ketua setiausaha (KSU), pembantu atau orang sebelah untuk menjawab soalan dalam sidang akhbar.

Tingkatkan ilmu pengetahuan terutama berkaitan dengan portfolio Exco itu sendiri dan juga kaedah berkomunikasi yang berkesan. Kalau boleh, kuasai lebih daripada satu bahasa, misalnya bahasa Inggeris dan satu bahasa asing.

Tidak semestinya mesti fasih bahasa asing itu tetapi sekurang-kurangnya faham dan boleh berkomunikasi secara asas. Untuk memenangi kerusi Parlimen itu lebih mudah daripada untuk mempertahankannya.

Rajin-rajinlah turun kawasan bertanya khabar penduduk dan membantu mereka. Ingatlah, bulan itu tidak selalunya bercahaya. Tiba masanya ia akan gerhana jua.

MARISSA QT, Kuala Lumpur

 

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *