Setakat 2 petang, 58 peratus keluar mengundi PRU15

PETALING JAYA: Separuh masa kedua hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya menyaksikan 58 peratus pengundi keluar mengundi setakat pukul 2 petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah pusat pengundian dibuka di seluruh negara bermula pukul 8 pagi.

Dengan perkembangan itu, tinggal tiga jam untuk memberi peluang kepada baki 20 juta pengundi yang masih belum keluar mengundi setelah pelbagai pihak menyasarkan peratusan keluar mengundi antara 75 hingga 80 peratus.

Dijangka sebanyak 20 juta rakyat Malaysia mengundi hari ini dalam PRU15 bagi menentukan parti atau gabungan yang mendapat mandat membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Kempen PRU15 yang bermula pada 5 November berakhir tengah malam tadi dengan hari ini ditetapkan hari pengundian di seluruh negara.

PRU15 diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan pada 10 Oktober lalu.

Selain memilih 222 ahli Parlimen, PRU15, pilihan raya kali ini turut membabitkan tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang.

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *