Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia perkukuh ekonomi golongan muda

KOTA BHARU : Golongan muda berpeluang menjana pendapatan sendiri menerusi bidang perniagaan masing-masing dengan beberapa inisiatif menarik ditawarkan kerajaan dalam Bajet 2023.

Antara bantuan yang disediakan itu adalah meliputi tawaran Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia yang memberikan pinjaman buat golongan muda untuk mengusahakan perniagaan seperti trak makanan.

Seorang mahasiswa, Solehin Abd Rahim, 23, berkata, kerajaan cuba memperkasakan ekonomi golongan muda dengan menyediakan peluang pinjaman itu bagi membantu mereka menampung aliran kewangan perniagaan masing-masing.

“Perniagaan merupakan antara bidang yang berpotensi untuk berkembang dan kerajaan telah menunjukkan komitmen mereka untuk menjaga kebajikan golongan muda dengan menyediakan skim bantuan ini,” katanya.

Dalam Bajet 2023, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob komited dalam manifestasi bagi membantu golongan muda dengan menyediakan Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menerusi skim ini, kerajaan menyediakan pinjaman dengan dana RM50 juta dan menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 untuk 10,000 anak muda menjana pendapatan sendiri.

Dalam pada itu, seorang penghantar makanan, Mohd Asri Mohd Shukri, 25, berkata, keprihatinan ditunjukkan kerajaan yang menggalakkan golongan muda menceburi bidang perniagaan adalah usaha yang wajar bagi menyokong mereka bertapak dalam mencari sumber pendapatan sendiri.

“Ini juga dapat menggelakkan golongan muda terlalu bergantung dengan makan gaji dan dapat menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Tambahnya, langkah kerajaan menyediakan perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso buat penghantar barangan dan makanan turut membantu membela kebajikan golongan itu.

“Sektor ekonomi gig yang banyak disertai golongan belia juga turut diberikan perhatian oleh kerajaan yang merupakan dimensi baharu dalam sektor ekonomi masa kini,” katanya.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *