Semua pihak perlu terima pilihan rakyat dalam PRU15, usah buat provokasi – PM

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap semua pihak menerima pilihan rakyat menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok dengan hati terbuka tanpa mencetuskan sebarang provokasi dan kekecohan.

Perdana Menteri berkata, menang atau kalah adalah adat pertandingan dan harus diraikan dengan matang serta berhemah.

“Saya harap esok pada hari mengundi dapat berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa sebarang provokasi di seluruh negara.

“Saya juga berharap malam esok apabila menerima keputusan, semua kita boleh menerima keputusan yang diumumkan dengan semangat yang tinggi tanpa menimbulkan kekecohan di mana-mana sekali pun.

“Kita terimalah pilihan rakyat dengan dengan hati terbuka, menang atau kalah adat pertandingan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program ramah mesra bersama penduduk Bandar 32, di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum kali ini, lebih 21 juta pengundi termasuk pengundi baharu yang berusia 18 tahun ke atas mengundi, esok.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berharap insiden provokasi tidak berulang selepas PRU15 sepertimana perarakan baju hitam dan tuduhan 30,000 pengundi warga Bangladesh sebagai pengundi hantu.

“Tuduhan itu sebenarnya tidak berlaku pun, jadi ia tidak baik untuk negara dan perlu dielakkan pada PRU15 ini,” katanya yang merupakan calon BN kerusi Parlimen Bera.

Dalam pada itu, Perdana Menteri bersyukur dua minggu kempen berjalan dengan lancar tanpa insiden tidak diingini.

Situasi itu, katanya, membuktikan kematangan berpolitik rakyat negara ini.

“Alhamdulillah selepas dua minggu berkempen saya lihat kempen berjalan dengan lancar di seluruh negara dan tidak ada kejadian tidak diingini sekali gus membuktikan kematangan rakyat Malaysia berpolitik,” katanya. – UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *