Malaysia terima baik keputusan Mahkamah The Haque – Perdana Menteri

BERA: Keputusan Mahkamah The Haque di Belanda yang memutuskan tiga individu bersalah dalam kes menembak jatuh pesawat MH17 lapan tahun lalu menjadi penanda aras dalam mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada mangsa terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut menegakkan keadilan kepada 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi penerbangan serta semua waris mangsa.

“Malaysia berpuas hati dengan proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan.

“Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar pada program ramah mesra bersama penduduk Bandar 32 di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Daerah The Haque menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Dua warga Rusia iaitu Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan kru pesawat berkenaan terbunuh.

PESAWAT

MH17 ditembak menggunakan peluru berpandu BUK Telar ketika pesawat berkenaan terbang melewati kawasan dilanda konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Ismail Sabri berkata, mewakili semua pihak yang terkesan akibat tragedi ini, Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Pasukan Penyiasat Bersama iaitu Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi MH17.

“Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17.

“Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang, keputusan mahkamah diharap sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa yang terbunuh dalam tragedi itu,” ujarnya.- UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *