Kerana dua perkara ini, satu billion orang muda seluruh dunia dijangka pekak!

PARIS – Kira-kira satu bilion orang muda di seluruh dunia mungkin berisiko kehilangan pendengaran akibat mendengar menerusi fon telinga atau menghadiri tempat yang memperdengarkan muzik kuat, menurut satu penyeldidikan pada Rabu.

Kajian yang diterajui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu menyeru golongan muda supaya lebih berhati-hati dengan tabiat tersebut dan menggesa kerajaan dan pihak pengilang untuk melakukan lebih banyak usaha bagi melindungi pendengaran manusia pada masa depan.

Analisis yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Global Health menganalisis data daripada 33 kajian yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis dan Rusia sejak dua dekad lalu dengan melibatkan lebih 19,000 peserta berumur antara 12-34 tahun.

Ia mendapati bahawa 24 peratus daripada golongan muda mempunyai amalan mendengar yang tidak selamat semasa menggunakan fon telinga dari peranti seperti telefon pintar.

Sebanyak 48 peratus lagi didapati telah terdedah kepada tahap bunyi yang tidak selamat di tempat hiburan seperti konsert atau kelab malam.

Menggabungkan penemuan itu, kajian tersebut menganggarkan bahawa antara 670,000 hingga 1.35 bilion orang muda boleh berisiko kehilangan pendengaran.

Menurut Lauren Dillard iaitu pakar audiologi di Universiti Perubatan Carolina Selatan dan pengarang pertama kajian itu kepada AFP, cara terbaik untuk orang ramai mengurangkan risiko kehilangan pendengaran daripada fon telinga ialah mengecilkan kelantangan serta mendengar bagi tempoh yang lebih singkat.

“Malangnya, orang ramai sangat menyukai muzik yang sangat kuat.

“Mungkin seronok berada di hadapan pembesar suara tetapi ia bukan idea yang baik untuk kesihatan jangka panjang anda.

“Semua tingkah laku itu boleh menjadi kompleks sepanjang hayat dan kemudian apabila anda berumur 67 tahun, ia boleh memberi impak yang cukup besar,” katanya. – Agensi

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *