Gara-gara dikejar sekumpulan anjing liar, warga emas buta sehingga kini

MUAR – Seorang lelaki warga emas tidak menyangka kejadian dikejar sekumpulan anjing liar pada tahun 2014 tidak hanya menyebabkan matanya buta, malah dia turut kehilangan keupayaan untuk bekerja bagi mencari rezeki buat keluarga.

Bekas pekerja syarikat pembersihan, Isthnin Yot, 62, dari Bandar Maharani di sini berkata, tragedi hitam itu berlaku ketika dia menunggang motosikal untuk pulang ke rumah selepas membeli barangan dapur.

Katanya, sekumpulan anjing liar yang berada di tepi jalan kemudian mengejarnya mengakibatkan dia terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada mata kanan dan tangan.

“Ketika itu saya tidak rasa apa-apa sehinggalah penglihatan saya semakin merosot tiga tahun kemudian. Pergerakan saya semakin terbatas sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

“Doktor memberitahu selaput pada mata saya sudah mengenai urat saraf dan rosak hingga mengakibatkan kedua-duanya buta,” katanya ketika ditemui di Bandar Maharani di sini kelmarin.

Menurut Isthnin, dia bernasib baik apabila dijaga oleh isteri, Kamilah Simon, 64, yang membantunya untuk bergerak selain menguruskan makan minum.

Tambahnya, wanita itu mencari rezeki dengan melakukan kerja membersih kediaman penduduk bagi menampung kehidupan mereka.

“Saya ada seorang anak yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang, dia ada tolong saya, namun gaji yang diterimanya agak terhad,” katanya.

Pasangan suami isteri ini kini mengharapkan bantuan orang ramai bagi membiayai kos rawatan mata yang dianggarkan berjumlah antara RM4,000 hingga RM5,000.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh me­nyalurkan bantuan di nombor akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Isthnin Yon 01117-29-000275-236 atau menghubungi­nya di talian 012-766 5183.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *