Buat pilihan tepat demi kestabilan kemakmuran

BERA: Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok, Perdana Menteri berharap semua pengundi membuat pilihan bijak demi kestabilan dan kemakmuran negara pada masa akan datang.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengundi perlu memilih parti yang mampu membawa kestabilan negara terutama dalam sektor ekonomi iaitu yang antaranya dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada pengundi-pengundi baharu.

“Pilih parti yang mampu bawa kestabilan ekonomi negara, selain itu turut memfokuskan kepada sektor pendidikan. Bagaimana kerajaan baharu nanti boleh membantu para pelajar dan sebagainya.

Begitu juga dengan dasar pendidikan, yang mungkin akan diubah, dipinda atau sebagainya,” katanya selepas program ramah mesra bersama penduduk Bandar 32 di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, rakyat perlu memilih kerajaan mempunyai rekod pencapaian yang terbukti dalam menjaga kepentingan rakyat demi kemakmuran masa depan generasi akan datang.

“Kita kena pilih parti berdasarkan rekod pencapaian, parti yang berjaya dalam menjaga kepentingan rakyat khususnya masyarakat luar bandar dan B40,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Barisan Nasional (BN) yakin mampu mentadbir negara bermula Ahad ini.

“Walaupun kita tak keluarkan Kabinet bayangan tetapi kita (BN) yakin dan mampu untuk menang, sekali gus mentadbir negara mulai dari 20 hari bulan (20 November) nanti,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *