20.8 juta pengundi bakal keluar mengundi pada PRU15 – SPR

PUTRAJAYA : Seramai 20,853,681 orang pengundi bakal melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.66 Bugaya, Sabah esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, kesemua pemilih yang layak diminta dapat keluar mengunndi di 8,958 Pusat Mengundi dan 38,348 Tempat Mengundi (Saluran) yang dibuka untuk tujuan pengundian dengan kekuatan 363,515 petugas.

“Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang (Semenanjung) / 7.30 pagi hingga 5.30 petang (Sabah & Sarawak) ATAU waktu yang diwartakan.

“Pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, pengundi dinasihatkan membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

SPR juga ingin mengingatkan para majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada masa sama, SPR mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 minit malam ini dan selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

Kata beliau, mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuk di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram.

“SPR mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang membuka, membina atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Dalam pada itu, SPR turut mengingatkan penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan dan notis atau poster larangan berkenaan akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.

Katanya, pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

“Pengundi yang positif Covid-19 pula diminta berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian kelak,” katanya.

Selain itu, kata beliau, semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi diingatkan tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding.

Ini termasuk apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh dihalang dari memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya.

“SPR juga menyarankan semua yang terlibat dan hadir pada hari mengundi untuk memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi,” katanya. – UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *