15 inisiatif dibawa Ismail Sabri beri dimensi baharu dalam pentadbiran kerajaan

 

KEPEMIMPINAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membawa dimensi baharu dalam pentadbiran kerajaan yang sebelum ini berdepan dengan ketidakstabilan politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selepas mengambil alih tampuk kepimpinan negara, Ismail Sabri telah membawa 15 inisiatif buat Keluarga Malaysia khususnya dalam mendepani cabaran era pandemik Covid-19.

Antara usaha dilaksanakan beliau adalah dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan parti-parti pembangkang bagi membawa kestabilan politik dan perpaduan di negara ini.

Malah, beliau juga telah berusaha bagi melindungi rakyat negara ini dengan memastikan Program Iminisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar dengan memastikan tiada mana-mana pihak tertinggal dibelakang.

Mengikut statistik, seramai 98.7 peratus populasi penduduk di Malaysia telah divaksin menerusi program PICK sekali gus membuktikan kejayaan pelaksanaan inisiatif itu.

Selain itu, dengan cabaran pasca Covid-19, kerajaan pimpinan Ismail Sabri turut berusaha meletakkan ekonomi negara berada pada kedudukan antara yang terbaik di Asia Tenggara.

Keperluan rakyat di negara ini dalam mendepani cabaran Covid-19 turut diberikan perhatian oleh kerajaan dengan menyediakan bantuan tunai dan subsidi terbesar sebanyak RM77.7 bilion di samping turut menaikkan gaji minimum sehingga RM1,500.

Kerajaan turut mewujudkan pelan tindakan dasar sekuriti makanan negara bagi memastikan bekalan makanan mencukupi buat rakyat.

Golongan yang terkesan dan kehilangan sumber pendapatan turut menerima peluang pekerjaan yang disediakan sebanyak 600,000 kekosongan menerusi Skim Jamin Kerja.

Dalam memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negara terus terpelihara, kerajaan pimpinan Ismail Sabri turut tegas dengan melaksanakan transformasi undang-undang melalui penggubalan Akta Anti Lompat Parti, Akta Anti Gangguan Seksual dan pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Di samping itu, badan kehakiman dan legislatif turut dipastikan bebas daripada sebarang anasir-anasir luar.

Sejak pemerintahan Ismail Sabri juga, kerajaan begitu serius dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu khususnya di peringkat antarabangsa.

Golongan wanita turut diperkasakan melalui Penubuhan Majlis Wanita Negara, pemerkasaan institusi hakim di bawah Mahkamah Syariah dan mewujudkan Akta Pembiayaan Kewangan melalui Jabatan Kehakiman Syariah.

Golongan belia turut tidak terkecuali daripada manfaat disediakan kerajaan antaranya melalui pelantikan wakil belia sebagai senator Dewan Negara, pemberian peranti siswa kepada 400,000 pelajar daripada keluarga B40 dan menyediakan kredit mikro untuk usahawan belia.

Selain itu, kebajikan penjawat awam masih diteruskan menerusi bantuan khas kewangan, kenaikan gaji tahunan khas RM100, kenaikan kadar cuti maksimum, perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan cuti dan tambahan kadar cuti rehat khas.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut diperkasakan di bawah pentadbiran Ismail Sabri melalui pindaan Perlembagaan di samping meningkatkan kesejahteraan hidup 113,000 peneroka Felda.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *