Tiada ada rakyat yang akan terpinggir, beri peluang kepada BN – PM

KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak ada rakyat yang akan terpinggir dalam arus pembangunan negara jika gabungan berkenaan berjaya mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seterusnya mahu rakyat memberi peluang sekali lagi BN dalam pilihan raya kali ini.

Katanya, seperti konsep Keluarga Malaysia, tiada siapa yang akan terpinggir malah proses pembaikan akan berte­rusan serta semak dan imbang di Parlimen akan dipastikan.

“Saya Perdana Menteri untuk semua dan akan terus menjadi Perdana Menteri untuk semua. BN perlukan sokongan tuan-tuan dan puan-puan, tiada siapa boleh bina negara secara sendirian.

“Cukuplah politik sebelum ini memecahbelahkan kita semua, berikanlah BN peluang wujudkan sebuah kerajaan kuat, kerajaan yang inklusif untuk semua. Izinkan kami kembalikan kestabilan dan kemakmuran kepada negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi membawa keluar Malaysia dari kemelut politik dan ekonomi, beliau memerlukan sebuah barisan kepimpinan yang stabil dan mantap untuk mentadbir negara.

“Pasukan ini mestilah berkebolehan, mempunyai prestasi baik, berpengalaman dan mempunyai kepakaran. Ismail Sabri bukan ahli politik one man show. Kita percaya kepada semangat berpasukan.

“Itu sebab kerajaan baharu mesti inklusif menghargai kepelbagaian dan perbezaan pendapat. Kita perlu mengutamakan negara mengatasi kepentingan politik sempit,” ujarnya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *