PerantiSiswa inisiatif kerajaan bantu pelajar

KOTA BHARU : Pemberian peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia memudahkan pelajar untuk mendepani sesi pengajaran dan pembelajaran mereka secara lebih berkesan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Inisiatif itu juga sekali gus membantu golongan pelajar B40 yang tidak berkemampuan untuk memiliki peranti berkenaan agar tidak ketinggalan dalam sesi pembelajaran mereka.

Menurut seorang penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurul Syazwani Mohd Ramli, 23, berkata, kos bagi membeli sendiri peranti itu juga adalah mahal dan pemberian itu sedikit sebanyak mengurangkan bebanan pelajar yang kurang berkemampuan untuk memiliki alatan itu.

“Pelajar pada masa kini berdepan pelbagai cabaran dalam sesi pembelajaran dan dengan adanya kemudahan ini, ia amat membantu mereka tambahan pula banyak tugasan perlu disiapkan dengan menggunakan peranti tersebut,” katanya.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Osmail Sabri Yaakob pada September bersetuju memberi peranti kepada semua penerima Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia tanpa perlu memulangkannya semula.

Ismail Sabri berkata, pemberian itu bertujuan menghargai penerima PerantiSiswa dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) B40 dan menjadi pemangkin untuk mereka belajar bersungguh-sunguh sehingga mendapat keputusan cemerlang.

Dalam pada itu, seorang pelajar Tingkatan Enam, Nur Izzati Syafinaz Mohd Khairil berkata, peranti tersebut sememangnya amat diperlukan pelajar pada masa kini dan sewajarnya inisiatif itu diperluaskan lagi pada masa hadapan.

Nur Izzati yang juga merupakan penerima bantuan itu berkata, langkah berkenaan adalah bagi membolehkan lebih ramai lagi pelajar di negara ini mendapat manfaat tersebut dalam membolehkan mereka mendapat pendidikan secara berkesan.

“Banyak institusi dan pusat pengajian di negara ini memerlukan penggunaan kemudahan itu dan sewajarnya lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *