Pastikan kejayaan ekonomi berterusan – PM

KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) akan memastikan kejayaan ekonomi yang berterusan melalui kestabilan politik sekiranya diberi mandat untuk menerajui kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keyakinan itu selari dengan manifesto BN yang mahu memakmurkan negara dengan bertunjangkan kerancakan ekonomi.

Katanya, antara isu besar yang menimpa rakyat ketika ini berkaitan kos sara hidup perlu ditangani dan ia menjadi fokus kepada BN sekiranya dipilih untuk menjadi kerajaan.

“Kita telah mewujudkan Jawa­tankuasa Jihad Perangi Inflasi dan sebagainya tetapi akan ditambah baik kerana pa­ling penting bagi rakyat ialah isu harga barang yang perlu diberi perhatian.

“Walaupun kita tahu tahun depan jangkaan ketidaktentuan ekonomi agak tinggi, kita akan pastikan supaya dapat melepasi segala rintangan supaya ekonomi terus berkembang,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, jika BN diberi mandat dan sekali lagi menjadi Perdana Menteri, beliau mahu kerajaan terdiri daripada mereka yang ikhlas untuk membangunkan negara dan bukannya pihak yang bekerjasama semata-mata untuk kuasa.

“Pada masa sama katanya, BN menghormati rakan-rakan parti di Sabah dan Sarawak dan parti itu mempunyai persefahaman baik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Tidak seperti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kami (BN) menghormati persefahaman bahawa Sabah dan Sarawak mesti ditadbir oleh gabungan mereka sendiri,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *