Ibu bapa sambut baik usaha kerajaan naik kadar bantuan RMT

KOTA BHARU: Usaha kerajaan yang menambah baik bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bermula awal bulan ini merupakan langkah bertepatan dalam memastikan murid-murid mendapat makanan sihat.

Menerusi tinjauan dilakukan juga mendapati kebanyakan ibu bapa menyambut baik inisiatif kerajaan itu khususnya dalam memastikan anak-anak mereka mengambil makanan berzat bagi mengatasi masalah pertumbuhan dan kekurangan tenaga.

Seorang pemandu teksi, Zakaria Md Isa, 49, berkata, kadar jumlah bantuan itu yang dinaikkan oleh kerajaan sememangnya amat dinantikan oleh ramai ibu bapa yang bimbangkan anak mereka berdepan dengan masalah bantut disebabkan pemakanan tidak sihat.

“Jadi usaha kerajaan ini bukan sahaja menjamin murid mendapat makanan yang sihat malah turut membantu dalam mengatasi isu bantut dalam kalangan murid,” katanya.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menetapkan untuk menambah kadar bantuan RMT buat semua penerima yang layak berkuat kuasa pada awal November lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kadar RMT dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk murid-murid di Semenanjung.

Manakala, beliau berkata, kadar RMT untuk murid-murid di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan ditambah daripada RM3 kepada RM4.

Dalam pada itu, seorang kakitangan swasta, Roshilawati Rahman, 39, berkata, murid-murid yang mengambil makanan berzat akan dapat menumpukan perhatian dengan sebaiknya sewaktu mengikuti sesi pengajaran oleh guru.

“Kerajaan dilihat begitu prihatin dengan pembesaran dan pemakanan murid-murid bagi memastikan mereka mendapat makanan sihat melalui bantuan RMT ini sekali gus akan memberi perhatian sewajarnya sewaktu belajar,” katanya.

Tambahnya, inisiatif ini sewajarnya diteruskan dan diperluaskan lagi bagi memastikan seluruh lapisan murid mendapat manfaat daripada pelaksanaannya.

“Mungkin dari masa ke semasa pelaksanaan bantuan seperti ini boleh ditambah baik lagi dengan lebih berkesan agar dapat membantu ramai lagi murid di luar sana,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *