Golongan muda, wanita dan belia diberi fokus, 600,000 peluang kerja tahun depan

KUALA LUMPUR : Golongan muda, wanita dan belia akan diberi fokus dengan menawarkan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun depan berdasarkan kejayaan Program Jamin Kerja yang dilakukan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program Jamin Kerja itu telah mengurangkan pe­ngangguran sebanyak 3.6 peratus.

“Justeru, saya memerlukan Kabinet yang kuat merangkumi pelbagai bidang untuk memastikan perancangan ini berjalan dengan baik. Kestabilan politik ialah syarat untuk kemakmuran ekonomi,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, dasar luar juga mesti diubah supaya kehadi­ran Malaysia dapat dirasai semula oleh negara-negara lain seperti satu ketika dahulu.

“Kebelakangan ini kita agak kurang menyerlah mungkin di­sebabkan oleh masalah Covid-19. Sebab itu kita mesti kembalikan keagungan lepas daripada segi peranan dengan dasar luar supaya dunia merasai kehadiran kita,” katanya.

Kata Ismail Sabri lagi, BN akan memperkasakan semua agensi dan jabatan kerajaan yang selama ini menerima banyak rungutan mengenai ke­renah birokrasi yang melampau dalam jabatan kerajaan.

“Benda ini kadang kala menghindar kemasukan pelabur ­asing. Setiap kelulusan di sini perlu menunggu lama berbanding negara lain. Kerenah ini perlu diberi fokus,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Rancangan Malaysia ke-12 turut memperjuangkan bagi membasmi kemiskinan dan ia bukan sesuatu yang klise.

“Sebab itulah saya akan fokus kepada pembangunan Sabah dan Sarawak. Layanan terhadap Sabah dan Sarawak adalah sama sahaja seperti di Semenanjung.

“Malah, daripada segi tumpuan kepada pembangunan infra dan sebagainya akan kita utamakan dan memberikan kelebihan kepada mereka,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *