Anak Kelantan mula pulang ke perantauan, tunaikan tanggungjawab!

GUA MUSANG: Anak Kelantan yang berada di perantauan mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Krai mendapati jumlah kenderaan semakin bertambah sejak pagi tadi dan situasi itu dijangka berterusan sehingga malam esok.

Seorang penjawat awam, Adila Ahmad Awang, 40, berkata, dia mengambil keputusan untuk pulang sehari lebih awal ke Rantau Panjang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Saya bertolak dari Seri Kembangan, Selangor pada pukul enam pagi tadi dan perjalanan masuk di bandar Raub, Pahang berdepan kesesakan.

“Tadi ada tiga tempat pihak polis trafik mengawal lalu lintas di sekitar Kampung Gali, Pahang kerana ada kejadian banjir kilat. Tetapi jalan itu masih boleh dilalui semua kenderaan,” katanya.

Adila memberitahu, dia menggunakan jalan alternatif melalui Gua Musang-Jeli seterusnya ke Dabong, Kuala Krai – Rantau Panjang bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, Hafizee A. Hamid, 45, dari Kota Damansara memberitahu, dia turut mengambil cuti awal hari ini bagi pulang mengundi.

Katanya, dia sempat berhenti rehat di Hentian Gua Musang sebelum menuju ke kampung isteri di Kampung Labok, Machang dan kemudian ke Kubang Kerian.

“Ada dua tempat yang berlaku kesesakan iaitu di bandar Raub dan Ulu Dong manakala dekat Sungai Pasu juga trafik perlahan apabila berlaku limpahan air banjir di atas jalan raya.

“Saya tersangkut dekat Raub selama sejam dan perjalanan ke Gua Musang mengambil masa selama lima jam. Saya berharap anak Kelantan yang nak balik nanti berhati-hatilah dan rancang perjalanan sebaiknya,” jelasnya. – UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *