PRU15: Calon PH fokus selesai isu banjir termenung di Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Rantau Panjang, Dr. Wan Shah Jihan Wan Din menjadikan isu banjir dan banjir termenung yang menyebabkan rakyat di kawasan ini ‘menderita’ sebagai agenda utama jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Dr. Wan Shahjihan berkata, beberapa langkah segera telah dikenal pasti yang boleh diambil bagi menyelesaikan segera masalah tersebut termasuk membina sebuah saluran air dalam skala lebih besar.

“Saluran yang ada ketika ini agak sempit sekali gus melambatkan aliran air keluar dari kawasan kampung terlibat.

“Ini akan menyebabkan berlakunya banjir termenung apabila air lambat surut. Bila lambat surut, penduduk di Kampung Tersang, Kampung Gual To’Deh serta sekitar akan terdedah dengan penyakit bawaan air,” katanya semasa turun padang meninjau masalah banjir termenung di Kampung Tok Deh, di sini hari ini.

Dr. Wan Shahjihan memberitahu, pada masa sama kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan laluan air ke Sungai Golok perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah banjir temenung.

Katanya, untuk langkah jangka masa panjang sebuah sungai buatan perlu diwujudkan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Semua ini perlu disegerakan kerana ia banyak memberikan kesan negatif kepada masyarakat. Jika diberi mandat, saya akan bawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahaskan bagi memastikan tekanan dialami rakyat dapat diredakan,” jelasnya.

Pada PRU15 kali ini, Dr. Wan Shahjihan berdepan tentangan sengit empat calon iaitu Zulkarnain Yusoff (BN), Datuk Siti Zailah (Pas), Datuk Ibrahim Ali (Gerakan Tanah Air) dan Datuk Mohd Zain Ismail (Parti Rakyat Malaysia).

Pada PRU14, Siti Zailah menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 6,150 undi.

Siti Zailah mendapat undi sebanyak 24,581 manakala Abdullah Mat Yasim (BN) memperoleh 18,431 undi dan Dr. Wan Shah Jihan (PKR) hilang deposit apabila memperoleh 5,361 undi.

 

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *