PRU-15: Lebih 150,000 pengundi dijangka pulang ke Kelantan

Kota Bharu: Pas Kelantan menjangkakan lebih 150,000 pengundi Kelantan yang berada di perantauan akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Setiausaha pilihan rayanya, Dr Wan Nik Wan Yusoff berkata, jangkaan itu hasil kajian yang dibuat Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta.

Katanya, kajian mendapati semua pengundi itu berusia 18 tahun ke atas yang berada di Lembah Klang, Penang, Sabah dan Sarawak.

“Mereka dijangka pulang bermula malam ini bagi penuntut institut pengajian tinggi, manakala golongan bekerja dijangka balik pada Jumaat ini.

“Kemungkinan akan berlaku kesesakan memandangkan ramai akan pulang ke kampung,” katanya pada sidang media Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Pejabat Penerangan Pas di sini, hari ini.

Wan Nik berkata, kajian berkenaan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa bermula selepas PRU-14 sehingga semalam.

Katanya, kepulangan beramai-ramai itu turut dipengaruhi pengumuman kerajaan mengenai hari pelepasan pada Jumaat dan Sabtu.

“Sementara itu, bilangan keseluruhan pengundi di negeri ini adalah seramai 1.4 juta orang, termasuk 300,000 pengundi muda antara 18 hingga 25 tahun.

“Terdapat pertambahan 300,000 pengundi berbanding pada PRU-14 yang berjumlah 1.1 juta orang. Kita dapati golongan muda memberi komen positif dan sedia untuk mengundi,” katanya.

Mengulas mengenai kempen PN katanya, ia berlangsung baik dengan siri jelajah oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyuntik semangat jentera dan keyakinan untuk mara ke hadapan.

Kredit : Harian Metro

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *