Calon PH Padang Serai meninggal dunia

ALOR SETAR: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya disahkan meninggal dunia pada pukul 2.27 petang ini di Hospital Kulim.

Kematian beliau disahkan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Johari Abdul kepada Utusan Malaysia sebentar tadi.

Menurut Johari, Karupaiya yang merupakan penyandang kerusi itu dimasukkan ke hospital beberapa hari lepas akibat muntah dan penat.

“Beliau bagaimanapun tetap hadir ketika Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim turun berkempen di Kulim dan Padang Serai pada 14 November lalu.

“Dalam majlis itu beliau memberikan ucapan ringkas kira-kira lima minit. Karupaiya kemudiannya turut menjulang tangan Anwar pada akhir ucapan Presiden PKR itu,” katanya.

Tambahnya, Karupaiya kemudiannya beredar meninggalkan majlis namun tiba-tiba rebah dan dibawa ke hospital.

“Namun sebentar tadi, beliau dilaporkan meninggal dunia di hospital dengan perkara itu disahkan anak lelakinya,” katanya.

Pada PRU14, Karupaiya memperolehi 31,724 undi mengatasi calon Pas, Muhamad Sobri Osman yang mendapat 22,911 undi dan Datuk Dr. Leong Yong Kong daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 15,449 undi.

Selain Karupaiya yang dinamakan PH untuk mempertahan kerusi Padang Serai, lima lagi calon yang mahu merebut kerusi di situ adalah Hamzah Abd Rahman mewakili Pejuang; Datuk C. Sivaraj (BN); Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional); Mohd. Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas). – UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *