BN yakin menang PRU15, bentuk kerajaan pusat

KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) yakin menebus kekalahan pilihan raya lalu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus membentuk kerajaan lebih stabil seterusnya membawa kemakmuran pada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melihat kepada perjalanan kempen setakat ini, sokongan rakyat terhadap BN semakin kuat berbeza ketika PRU14 lalu.

Katanya, di Parlimen Bera selain beliau sempat ke Johor serta Alor Gajah, Melaka antaranya, dapat dilihat mood pengundi ini telah banyak berubah berbanding PRU-14.

“Semasa PRU-14, kita boleh kesan daripada awal lagi (mood berbeza) tapi untuk kali ini keadaannya berbeza.  Bukan setakat dalam kalangan pengundi Melayu mahupun pengundi bandar, tetapi juga pengundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina yang sudah menampakkan penerimaan yang jauh lebih bagus berbanding PRU-14.

“Kalau tanya adakah saya yakin boleh menang? Tentu sahaja saya jawab yakin. Kita yakin kita mampu menewaskan sesiapa sahaja termasuk nama besar daripada pembangkang.

“Kalau kita lihat di Parlimen Sungai Buloh, kekalahan BN waktu itu adalah lebih daripada 20,000 (majoriti). Waktu itu, calon bukan daripada UMNO sedangkan kawasan itu adalah kawasan majoriti Melayu,” katanya dalam Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri, malam tadi.

Tambah Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, BN bertanding di 178 kerusi Parlimen dan seperti yang selalu disebutkan oleh kepimpinan di peringkat UMNO dan BN, mereka mesti dominan.

Katanya, jika BN dapat 80 atau 90 kerusi parlimen, lebih mudah untuk parti-parti lain bersama.

“Setakat hari ini, kita yakin kita boleh ‘cross’ (melintasi) 112 (kerusi parlimen). Tetapi kalau tidak berlaku seperti itu, tidak ada pilihan untuk kita kecuali membentuk kerajaan campuran.

“Saya percaya negara-negara yang menuju ke arah negara maju seperti kita, jarang ada satu parti yang menguasai. Biasanya akan berlaku kerajaan campuran. Jadi kita juga bersedia dan jika kita tidak dapat melintasi 112 kerusi, maka wujudkan kerajaan campuran.

“Tetapi kalau kita hanya ada 40 kerusi, orang lain 60 kerusi, tidak mungkin lagi kita boleh lead (mengetuai) kerajaan campuran tersebut. Sebab itu, kita hendak lead sebab sasaran kita kalau boleh melintasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan atau tidak boleh sekalipun 80 atau 90 (kerusi) iaitu lebih dominan berbanding parti lain.

“Jadi kalau kita jemput mereka sertai kita, tentulah Perdana Menteri datang daripada kita. Kalau kita dapat 30 (kerusi), orang lain 80, maka orang lainlah akan menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri percaya kempen akan menjadi lebih sengit menjelang beberapa hari sebelum hari pengundian.

Beliau juga bimbang jika isu peribadi lebih banyak dibangkitkan.

“Tapi kita di peringkat BN, kita tidak memfokuskan isu-isu peribadi ini, ‘karekter assassination’ ini tidak menjadi ‘point’ untuk kita jadikan sebagai salah satu bahan untuk berkempen. Kita lebih tumpu kepada ‘produk’ dan apa yang kita boleh tawarkan untuk rakyat.

“Daripada segi manifesto pula, kita jauh lebih baik daripada manifesto parti lain sebab manifesto kita sebahagian besar adalah daripada bajet yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu.

“Saya selalu sebut bila kita bentang bajet sebagai manifesto kita, ianya bukan janji kosong sebab sudah ‘budgetted for’. Semua yang kita bentangkan itu telah pun mempunyai dana yang mencukupi untuk dilaksanakan, cuma menunggu kepada kelulusan bajet sahaja.

“Manifesto kita bukan semata-mata yang menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita juga berpijak kepada janji nyata kerana semua yang telah dirancang mempunyai kewangan,” katanya.

Katanya lagi, strategi BN lebih kepada memberikan tawaran kepada rakyat, menjual produk namun dalam masa sama tetapi tidak memburukkan produk orang lain.

“Saya harap rakyat boleh menerima cara kita daripada bentuk serangan peribadi dan sebagainya,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *