BN bukan parti rasuah, konsisten tidak campur urusan mahkamah

KUALA LUMPUR : UMNO dan Barisan Nasional (BN) sama sekali tidak pernah campur tangan dalam kes mana-mana pemimpin yang telah didakwa di mahkamah dan pendirian tersebut sentiasa konsisten.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendirian tersebut yang membezakan BN dan Pakatan Harapan (PH) yang jelas menggugurkan kes mahkamah beberapa pemimpin mereka sebelum ini termasuk membabitkan Lim Guan Eng.

Katanya, bayangkan pemimpin besar UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan bekas Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO namun apabila berhadapan kes di mahkamah, keputusan kerajaan ialah tidak campur tangan dalam urusan mahkamah.

“Sebenarnya, kalau kita lihat, orang Melayu kata gajah depan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak. Dia (PH) nampak kesalahan orang lain tetapi sebenarnya yang melakukan kesalahan paling banyak adalah mereka.

“Sebagai contoh, kes telahpun berjalan dan saksi telah pun dipanggil tetapi bila mereka ambil alih pemerintahan, oleh kerana Guan Eng mungkin mereka hendak melantik sebagai Menteri Kewangan, kes digugurkan.

“Malah ada beberapa lagi, kalau tidak silap saya R. Sivarasa dan sebagainya, dalam senarai itu banyak, yang mana kes telah digugurkan terhadap mereka.

“Inilah beza antara BN dengan mereka. Kalau tengok pemimpin BN, saya sendiri, konsisten dengan pendirian kita, bahawa kita tidak campur dalam urusan mahkamah. Kita kotakan apa yang kita cakap dan inilah beza antara mereka dengan kita,” katanya dalam Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri, malam tadi.

Tambah Ismail Sabri, PH ini lebih kepada bercakap semata-mata seolah-olah menunjukkan merekalah pejuang hak asasi, menghormati kedaulatan undang-undang namun mereka jugalah sebenarnya
yang melanggar segala apa yang dijanjikan untuk mengangkat martabat sistem perundangan, judiciary (kehakiman).

“Jadi, inilah kalau rakyat hendak tengok perkara sebenar, perbezaan antara BN dengan PH. Jelas bahawa kita yang lebih konsisten dan benar-benar patuh kepada apa yang diperkatakan sedangkan mereka menjadikan itu sebagai bahan politik.

“Mereka sebenarnya lebih teruk daripada apa yang digambarkan oleh mereka tentang parti mereka,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *