PRU15 – BN yakin sokongan pengundi Cina di DUN Damak semakin meningkat

Fasal (kiri) menyantuni masyarakat Cina di Bandar Inderapura, Jerantut hari ini

JERANTUT – Barisan Nasional (BN) yakin meraih lebih banyak undi daripada kaum Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu depan.

Kerja kuat antara calonnya, Muhamad Fasal Jamlus dan jentera parti MCA mampu mengembalikan sokongan pengundi Cina untuk memilih BN bagi merampas kembali kerusi Dun Damak yang dimenangi oleh Pas pada PRU14.

“Walaupun DUN Damak tidak diwakili oleh calon MCA namun mereka tetap turun padang membantu saya sepanjang tempoh berkempen.

“MCA memberi kerjasama yang bagus dan mereka telah mengadakan beberapa program agar saya dapat menyantuni pengundi Cina,” katanya kepada Utusan Timur hari ini.

Fasal memberitahu, lebih 10,000 orang berbangsa Cina layak mengundi di DUN Damak dan mereka perlu berusaha lebih keras untuk menawan hati pengundi.

“Kali ini tidak ada calon dari kaum Cina yang bertanding jadi kita perlu pastikan mereka memilih BN pada Sabtu ini,” ujarnya.

Fasal akan ditentang oleh penyandang kerusi Dun Damak dari Perikatan Nasional (PN), Zuridan Md Daun; Mohd Rafly Mohd Satar dari Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas, Izudin Ismail.

Pada PRU14, Zuridan yang mendapat 8,444 undi merampas kerusi yang selama ini menjadi milik BN dengan majoriti 1,456 undi. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *