Jangan tersalah pilih, pengundi awal perlu buat keputusan yang tepat!

KUALA SELANGOR – Pengundi awal yang memilih pada Selasa diharap membuat keputusan tepat demi menentukan masa depan negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengundi awal perlu membuat pertimbangan sewajarnya dan membuat perbandingan sewaktu pemerintahan BN dan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Peluang yang diberikan kepada PH oleh rakyat ketika itu adalah untuk melihat perubahan yang boleh dilakukan oleh mereka dalam mentadbir negara.

“Bagaimanapun apa yang jelas bahawa mereka (PH) gagal melaksanakan apa yang diharap oleh rakyat,” katanya semasa sidang akhbar selepas Sembang Santai Anak Muda Kuala Selangor di Bandar Puncak Alam di sini pada Isnin.

“Saya percaya mereka perlu buat perbandingan sewaktu pemerintahan BN dan sewaktu pemerintahan PH,” kata beliau.

Ditanya mengenai tahap sokongan penjawat awam kepada BN, Ismail Sabri memberitahu, sokongan terhadap parti itu tinggi.

“Sewaktu PH memerintah, mereka telah gambarkan bahawa kakitangan kerajaan perlu dikurangkan dan sebagainya, maka mereka (penjawat awam) merasakan mereka tiada pembelaan sewaktu PH berbanding selepas BN kembali memerintah,” katanya.

Selain itu, katanya, selama menjadi Perdana Menteri pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk kepentingan warga perkhidmatan awam.

“Dari segi kerajaan memang kita menjaga kepentingan penjawat awam jauh daripada PH, saya yakin esok penjawat awam akan menyokong BN,” jelasnya.

Kredit: Sinar Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *