‘Ismail boleh bawa pembaharuan dalam Umno’, KJ tegas sokongan kepada calon PM

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin menegaskan sokongan penuhnya kepada Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan pembaharuan dalam parti teras Barisan Nasional (BN) itu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Itulah sebab penting untuk menyebar luas mesej di luar sana bahawa Ismail ialah calon perdana menteri kita yang akan menerajui perubahan, membawa pembaharuan dalam Umno dan peralihan kerajaan.

“Saya harap saya ada bersama untuk menyokongnya,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Khairy yang juga calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh berkata, gelombang baharu calon muda Umno, termasuk dirinya, akan memainkan peranan signifikan dalam kepimpinan parti.

“Kita mempunyai sekumpulan calon muda kali pertama yang tak pernah kita lihat jumlahnya sebelum ini. Itu saya rasa berita yang tidak dilapor secara meluas dan tidak cukup dihargai.

“Dan individu lain dalam generasi saya, seperti Shahril Hamdan dan Khairul Azwan Harun, turut menyumbang kepada perubahan ini,” katanya.

Pemimpin-pemimpin ini akan membawa lebih dinamika, kebertanggungjawaban dan integriti bagi Umno, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap parti dan meyakinkan mereka terhadap kestabilan Umno.

“Akar umbi dan rakan seperjuangan saya meletakkan harapan tinggi untuk melihat perubahan berlaku,” katanya, sambil turut menggesa pengundi memberi peluang kepada calon muda kali pertama kerana mereka juga mampu memberi perkhidmatan terbaik.

Bagaimanapun, bagi dirinya dan juga Ismail, kemenangan pada PRU15 perlu diutamakan sebelum mendekati topik pembaharuan.

Minggu lepas, Khairy berkata, ramai dalam Umno takut untuk tampil menyatakan hasrat melihat perubahan kerana ahli parti perlu mengekalkan disiplin sehingga PRU selesai.

Katanya, beliau mahu melihat pembaharuan dilaksanakan dalam Umno dan menarik semula bekas penyokong parti.

Khairy berkata, beliau tidak mahu Umno dikenali sebagai “kluster mahkamah”, iaitu terma popular merujuk kepada pemimpin utama Umno seperti Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang sama ada terbabit dalam kes mahkamah atau sudah disabitkan kesalahan seperti pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang.

 

Kredit : FMT

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *